suria

DBKL, KBS Perlu Bincang Segera Soal Velodrom Tertutup

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu berbincang segera dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengenai pembinaan velodrom tertutup kelas satu di ibu negara yang dapat membantu pembangunan sukan berbasikal trek di negara ini.

Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad berkata perbincangan itu perlu disegerakan kerana DBKL telahpun membuat pengesahan pada 19 Mei lepas yang mereka sudah memulakan proses penawaran tender pembinaan velodrom tertutup itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan pingat kepada pemenang siri pertama Grand Prix Asia Tenggara 2013 di sini, pada Isnin.

Velodrom terbuka Kuala Lumpur yang terletak di Cheras akan dirobohkan tidak lama lagi kerana tapaknya akan dibangunkan dengan projek komersil.

Naim juga berkata nilai tanah di tapak Velodrom Kuala Lumpur yang dianggarkan antara RM120 dan RM140 juta sudah mencukupi untuk DBKL menggantikan dengan velodrom baru kelas satu.

"Sebagai contoh, bajet paling rendah untuk pembinaan velodrom tertutup kelas satu adalah RM80 juta iaitu Velodrom Suisse di Grenchen, Switzerland," katanya.

Naim berkata buat masa sekarang Malaysia hanya memerlukan sebuah sahaja velodrom kelas satu untuk digunakan untuk pembangunan sukan berbasikal trek.

Jika pembangunan velodrom tertutup itu dijalankan DBKL mengikut perancangan,Mengikut perancangan, velodrom tertutup dapat digunakan untuk tujuan latihan serta penganjuran kejohanan antarabangsa pada 2015.

Oleh itu, velodrom yang lama perlulah dirobih selepas siap velodrom yang baharu kerana PKBM masih memerlukan velodrom tersebut, katanya.

Menyentuh mengenai peruntukan RM80 juta untuk pembinaan velodrom tertutup di Nilai, Negeri Sembilan dalam Belanjawan 2013, Naim mencadangkan peruntukan itu disalurkan kepada beberapa negeri untuk pembinaan velodrom mengikut zon.

"Peruntukan itu boleh digunakan untuk pembinaan velodrom kelas tiga termasuk membantu Perlis dalam pembinaan velodrom Sukan Malaysia 2014, menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh dan juga meneruskan projek pembinaan velodrom di Dungun, Terengganu," tambahnya.- BERNAMA

Artikel Lain