suria

Malaysia Tewas 0-2 kepada Thailand Dalam Perlawanan Persahabatan

KUALA LUMPUR: Skuad bola sepak kebangsaan mencatat kekalahan kedua dalam perlawanan persahabatan antarabangsa selepas tewas 0-2 kepada Thailand di Stadium SCG, Nonthaburi malam ini.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini tewas 0-1 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu lepas.

Pada perlawanan di Thailand itu, skuad kebangsaan menerima asakan bertali arus daripada pasukan tuan rumah sebaik sahaja perlawanan bermula dan hasilnya Thailand berada di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan pemain pertahanannya, Prayat Bunya selepas menanduk masuk sepakan penjuru daripada rakan sepasukan.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad kebangsaan memperkemaskan jentera serangan menerusi Mohd Safee Mohd Sali dan Azamuddin Mohd Akil, namun kekebalan benteng pertahanan skuad Gajah Putih itu menyukarkan mereka untuk mencari gol penyamaan.

Pemain penyerang tuan rumah, Ahtit Suntornpit kemudian memastikan kemenangan mutlak pasukan bimbingan Winfried Schafer menerusi gol kedua pada minit ke-81 menerusi sepakan kencang daripada luar kotak penalti Malaysia.

Skuad Harimau Malaya akan kembali ke tanah air untuk meneruskan aksi persahabatan bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 Nov ini.

Pada Kejohanan Piala AFF Suzuki yang bermula 23 Nov ini, skuad kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan B bakal berdepan Singapura pada 25 Nov, bertemu Laos pada 28 Nov sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Indonesia pada 1 Dis.

Kesemua perlawanan itu berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.-BERNAMA

Artikel Lain