suria

Akademi Badminton Kebangsaan Siap Dua Tahun lagi: Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Impian Malaysia untuk mempunyai akademi badminton sendiri akan menjadi kenyataan dua tahun lagi, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Selasa.

Ahmad Shabery berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Jabatan Kerja Raya sedang melaksanakan perancangan untuk membangunkan semula kemudahan yang terdapat di Bukit Kiara sebagai sebuah akademi badminton serba canggih.

Katanya KBS akan menggunakan peruntukan RM50 juta yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi tujuan itu ketika membentangkan Belanjawan 2013 baru-baru ini.

"Akademi ini bukan saja untuk kegunaan pemain badminton Malaysia, tetapi juga akan menjadi hab badminton di rantau ini," katanya selepas melancarkan laman web dan pejabat baharu Persekutuan Badminton Asia (BAC) di sini.

Beliau berkata pihak terbabit juga sedang berunding dengan Persatuan Bola Jaring Malaysia dan Persekutuan Boling Padang Malaysia yang memiliki kemudahan di Bukit Kiara.

Perkara berkaitan pembinaan akademi badminton kebangsaan timbul sejak 2008, tetapi terpaksa ditangguh kerana KBS dan BAM belum memperoleh tapak yang sesuai untuk projek itu.

Sementara itu, presiden BAC Katsuto Momii berkata antara objektif utama badan itu ialah mempromosi sukan badminton ke seluruh Asia, termasuk Asia Tengah dan Timur Tengah.

"Dengan tertubuhnya sebuah pejabat yang beroperasi secara penuh, dengan adanya matlamat jangka pendek dan jangka panjang yang jelas, kini BAC boleh mempercepatkan pelaksanaan pelan strategik kami bagi Asia," katanya.

BAC mula beroperasi secara rasmi di pejabat baharunya di Stadium Badminton Kuala Lumpur hari ini.

Laman web BAC yang dinaik taraf boleh diikuti dengan melayari www.badmintonasia.org.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain