suria

Persatuan Bola Sepak Belia Perak Tidak Akan Dibubarkan - PAFA

IPOH: Pasukan belia negeri yang menjuarai Piala Belia Kebangsaan 2012 anjuran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Universiti Utara Malaysia (UUM) Ahad lepas tidak akan dibubarkan, kata Presiden Persatuan Bolasepak Perak (Pafa) Datuk Zainol Fadzi Paharuddin.

Beliau berkata ini kerana Pafa telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk membentuk pasukan itu, bermula daripada pemilihan pemain di peringkat zon akhir tahun lalu, dengan 100 pemain terpilih mengikuti latihan pusat sebelum pemilihan akhir dua bulan lalu.

"Pengurusan Pafa juga sedang merancang untuk menyediakan peluang melanjutkan pelajaran kepada pemain-pemain ini semasa latihan bagi mengelak mereka berhenti bermain bagi meneruskan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi," katanya kepada pemberita di sini, malam Isnin.

Dalam perlawanan itu, pasukan Perak menewaskan Perlis 1-0 dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000.

Zainol Fadzi berkata pihaknya akan berunding dengan mana-mana Institusi Pengajian Tinggi bagi memberi peluang kepada pemain untuk meneruskan pengajian secara Program Jarak Jauh (PJJ) atau pengajian luar kampus. "Saya akui ada di kalangan atlet yang hidup susah selepas meninggalkan sukan yang diceburi... jadi kita mengambil inisiatif ini untuk melahirkan pemain yang mempunyai sekurang-kurangnya diploma.

"Kalau boleh kita mahukan pemain melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat ijazah ataupun sarjana, jadi selepas 10 atau 15 tahun lagi apabila mereka meninggalkan bidang ini, mereka boleh mendapatkan pekerjaan yang sesuai," katanya.

Beliau berkata buat sementara waktu, pasukan itu akan bermain di liga-liga tempatan bagi mengekalkan prestasi mereka.

Katanya pemain yang menunjukkan peningkatan dan prestasi yang baik akan diserapkan ke pasukan Piala Presiden dan Liga Super pada masa akan datang. -BERNAMA

Artikel Lain