suria

Chia Sedia Hadapi Kejohanan Maybank Terbuka Malaysia 2012

KUALA LUMPUR: Pemain golf negara Danny Chia kini lebih bersemangat untuk menyahut cabaran pada Kejohanan Maybank Terbuka Malaysia 2012 bernilai US$2.5 juta (RM7.68 juta) yang bermula di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC) di Bukit Kiara di sini, Khamis ini.

Pemain profesional itu kini pulih dari kecederaan bahagian bawah belakang tubuh yang menghantuinya pada sebahagian besar Jelajah Asia 2011 selepas mengikuti sesi rawatan dan mengurangkan jumlah kejohanan yang disertainya.

"Saya terpaksa bergantung kepada ubat penghilang kesakitan pada banyak kejohanan tahun lepas dan saya terpaksa langkau beberapa kejohanan bagi memastikan keadaan fizikal saya baik minggu ini.

"Saya bangga dengan tindakan itu kerana saya kini bebas dari kesakitan dan kecederaan tidak menonjol lagi," kata bekas juara Jelajah Asia itu seperti dipetik dalam laman sesawang rasmi, Jelajah Asia, Isnin.

Katanya beliau masih menyimpan harapan untuk muncul sebagai pemain tempatan pertama menjuarai kejohanan itu.

Antara kemuncak pertandingan tahun ini ialah kemunculan kembali pemain Jerman Martin Kaymer, pemenang Kejohanan US PGA 2010 dan pemain nombor empat dunia ketika ini dan peserta Afrika Selatan Charl Schwartzel, johan Masters Tournament 2011. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain