suria

MB Terengganu Harap Kekecohan FAM, Persatuan Negeri Tidak Berulang

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu berharap kekecohan berkaitan isu pemain import pasukan bola sepak negeri itu dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak berulang.

Datuk Seri Ahmad Said berkata perkara sebegitu tidak seharusnya berlaku lagi demi masa depan sukan bola sepak itu sendiri.

Beliau nyata gembira dengan keputusan badan induk itu melanjutkan tarikh pendaftaran pemain import sehingga 13 Februari walaupun sebelum ini FAM dilihat enggan tunduk dalam isu itu.

"Pelanjutan tempoh ini akan membolehkan pemain import bermain, dan ini disambut baik semua persatuan bola sepak negeri, ini maknanya FAM mendengar kehendak kita.

"Saya bukan bercakap sebagai Menteri Besar, saya bercakap bagi pihak peminat bola sepak akar umbi, saya juga peminat bola sepak kita, saya tahu kehendak peminat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Badan Bukan Kerajaan (NGO's) Negeri Terengganu 2012 di sini, Sabtu.

Ahmad berkata keputusan yang dibuat FAM itu selaras dengan tujuan pengambilan pemain import iaitu untuk meningkatkan lagi pencapaian bola sepak tempatan dan meningkatkan sokongan penonton, yang sekaligus membolehkan persatuan menambah pendapatan pada masa depan.

Kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta setiap tahun kepada setiap pasukan negeri itu iaitu Terengganu dan pasukan bertaraf kelab, T-Team, katanya.

Pertelingkahan antara Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dan FAM timbul berhubung isu pendaftaran dua pemain import pasukan Terengganu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil.

Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang bermesyuarat petang semalam akhirnya bersetuju melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import kepada semua persatuan bola sepak negeri dan kelab sehingga 13 Februari ini.

Selain Terengganu, berita itu menggembirakan beberapa pasukan lain termasuk Negeri Sembilan, PKNS dan Johor FC yang turut mempunyai masalah dengan pendaftaran pemain import masing-masing.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut lega kemelut antara FAM dengan PBSNT diselesai dengan baik.

"Ini adalah perkembangan positif. Kita nak lihat pendekatan profesional ini berterusan bukan sahaja dari segi pemain profesional, tapi pengurusan, mutu pengadilan dan penganjuran selain bermakna kurangnya campur tangan kerajaan dalam sukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain