suria

KL Dragons Buka Saingan Liga ABL Dengan Kemenangan Tipis

KUALA LUMPUR: Kelab profesional Malaysia, Westports Malaysia KL Dragons membuka kempen musim Liga Bola Keranjang ASEAN (ABL) 2012 dengan mengalahkan pendatang baru, San Miguel Beermen dari Filipina, 83-77 di Stadium MABA, di sini Ahad.

KL Dragons, yang diperkuatkan dengan dua pemain import dari Amerika Syarikat, Tiras Jamaal Wade dan Brian Michael Williams, memulakan saingan dengan rentak berhati-hati sehingga membolehkan pasukan lawan itu mendahului 42-35 selepas suku kedua perlawanan.

Bagaimanapun, KL Dragons, yang dibimbing oleh jurulatih dari Filipina, Ariel Vanguardia, bangkit semula pada dua suku terakhir untuk terikat 73-73 pada masa penuh perlawanan.

Dalam masa tambahan selama empat minit, pasukan KL Dragons berjaya menyumbat 10 mata manakala pasukan Filipina hanya mengutip empat mata.

Selepas perlawanan itu, Ariel memuji anak buahnya kerana menunjukkan semangat juang yang tinggi pada perlawanan yang sengit yang disaksikan oleh hampir 2,000 penonton.

"Kami bermula dengan rentak berhati-hati dan selepas ketinggalan, kami mengubah taktik sebelum bangkit semula untuk memperoleh kemenangan pertama ini," katanya.

KL Dragons akan meneruskan saingan dengan menentang satu lagi pendatang baru, Indonesia Warriors dari Indonesia di Gelanggang Mahaka Square, Jakarta, pada 21 Jan ini.

Sebelum itu, pasukan Indonesia itu akan menentang kelab Slingers dari Singapura di Stadium Tertutup Singapura, Ahad.

Liga profesional ABL diperkenalkan pada 2009 dengan tujuan membangunkan sukan itu di kalangan negara-negara di rantau Asia Tenggara. - BERNAMA

Artikel Lain