suria

Akademi Bola Sepak Terengganu Cari Pemain Mulai Hari Ini

KUALA TERENGGANU: Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSN) akan mengadakan pemilihan pemain untuk Akademi Bola Sepak negeri Terengganu yang diwujudkan di beberapa sekolah di negeri ini mulai hari ini.

Pengarah MSN Terengganu Zainal Abidin Hussin berkata pemilihan selama dua hari akan diadakan di Padang Sekolah Menengah Bukit Besar dengan tumpuan kepada kepada pemain berumur 13 hingga 15 tahun.

"Pemain-pemain yang berminat boleh datang ke tempat pemilihan pukul 4 petang esok," katanya di sini Isnin.

Beliau berkata selain sekolah itu, akademi juga akan diwujudkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Budiman Kuala Terengganu, Sekolah Menengah Sains Dungun, Sekolah Menengah Sultan Omar dan Padang Merdeka di Dungun.

Zainal Abidin berkata Sekolah Sukan Bukit Nenas Setiu pula akan dijadikan sebagai induk Akademi Bola Sepak Negeri Terengganu.

Beliau berkata bekas jurulatih pasukan bola sepak T-Team Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Nor akan mengetuai akademi induk di Sekolah Sukan Bukit Nenas itu manakala yang lain akan kendalikan oleh jurulatih bola sepak daerah masing-masing.

"Kita jangka dalam tempoh dua tahun akan datang, akademi ini akan dapat melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berwibawa dan berkualiti untuk pasukan negeri," katanya.

Zainal Abidin berkata setiap akademi akan menempatkan 30 pemain yang akan dipilih sama ada melalui pertandingan atau dari sekolah di daerah berkenan.

Akademi itu juga akan menganjurkan pertandingan dari masa ke semasa bagi mengukur dan melihat perkembangan pemain-pemain di akademi itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain