suria

Kelantan Optimis Pertahan Piala Sultan Ahmad Shah

KUALA LUMPUR: Kelantan optimis mampu mengekalkan Piala Sultan Ahmad Shah apabila bertemu juara Piala Malaysia Negeri Sembilan pada perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil malam Sabtu.

Pasukan Pantai Timur itu merupakan juara bertahan setelah menewaskan Selangor 2-0 pada aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim lepas di Stadium Shah Alam.

Jurulatih Peter Butler berkata walaupun ramai peminat tempatan meramalkan pasukan yang mendapat gelaran 'Kijang' itu sebagai pilihan, beliau mengakui Negeri Sembilan bukan lawan yang mudah dijinakkan.

"Untuk perlawanan Sabtu, saya lihat peluang pasukan kita 50-50. Walaupun ramai orang anggap kita pilihan, tapi saya tidak mahu itu dijadikan alasan untuk pasukan kita bermain sambil lewa kerana Negeri Sembilan turut mempunyai pemain hebat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pengurus pasukan untuk perlawanan Sumbangsih di sini, Jumaat.

Butler, yang pernah mengendali kelab Persiba Balikpapan di Indonesia, berkata perlawanan esok turut menjadi medan ujian untuk pasukan Kelantan berdepan skuad Lions XII (skuad bawah 23-tahun Singapura) dalam perlawanan Liga Super pertama mereka Selasa ini di tempat lawan yang menggunakan padang rumput tiruan.

"Saya harap kita boleh menggunakan perlawanan Sabtu sebagai medan menguji permainan pasukan kerana stadium lawan (Stadium Jalan Besar) menggunakan padang rumput tiruan yang menyebabkan pergerakan bola lebih pantas," kata jurulatih dari England itu.

Sementara itu, jurulatih Negeri Sembilan Mohd Azraai Khor Abdullah yakin barisan pemain muda yang bakal diturunkan esok mampu mempamer persembahan terbaik bagi memastikan pasukan tersebut berjaya merangkul Piala Sultan Ahmad Shah buat kali pertama.

"Saya yakin barisan pemain muda yang kita miliki mampu melakukan kejutan untuk perlawanan esok kerana saya lihat kebanyakan mereka menunjukkan semangat juang yang tinggi ketika beraksi di atas padang," kata bekas pengendali pasukan Kedah itu.

Mohd Azraai turut mengakui pasukan lawan juga mempunyai kekuatan seimbang berdasarkan beberapa pertemuan Kelantan dan Negeri Sembilan sebelum ini.

"Seperti kita ketahui, pasukan Kelantan telah membuat persiapan awal bagi menghadapi Liga Malaysia musim ini, jadi saya melihat pasukan tersebut mampu memberi saingan hebat kepada kita," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain