suria

Anuar Kembali Cergas, Giat Jalani Latihan Sertai Divisyen Dua

KUALA TERENGGANU: Pelumba basikal lebuh raya negara Anuar Manan kini kembali cergas setelah pulih sepenuhnya daripada pembedahan dua minggu lepas di bahagian tangan dan peha membuang ketumbuhan yang boleh mengganggu prestasinya.

Anuar berkata kesihatannya selepas menjalani penbedahan semakin baik dan telah mula menjalani latihan kayuhan seperti biasa.

Dia bersama rakan seperjuangan Adiq Husainie Othman sedang giat berlatih untuk beraksi bersama pasukan divisyen dua HK Champion System, Hong Kong, dua hari lagi.

"Kesihatan saya sudah pulih sepenuhnya dan kini giat berlatih bersama Adiq untuk beraksi bersama pasukan divisyen dua tersebut," katanya.

Latihan bermula empat hari lepas dan berkayuh sejauh 100 hingga 140 km sehari sebagai persiapan fizikal dan mental," katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Anak kelahiran Kuala Ibai itu berkata pada 7 Jan dia akan ke Hong Kong bersama rakan sepasukan sebelum bergerak ke Hainan untuk menjalani latihan di sana.

Menurut pelumba berumur 25 tahun itu, khidmatnya dengan pasukan Terengganu Pro-Asia Cycling Team (PACT) sudah tamat dan kini fokusnya untuk memberi yang terbaik bersama pasukan baru.

"Ini bukan kali pertama kerana sebelum ini saya pernah berlumba untuk pasukan Iran dan Korea, yang sedikit sebanyak pengalaman itu akan membantu saya apabila bersama pasukan baru nanti," katanya.

Meskipun agak berat untuk meninggalkan pasukan PACT yang telah banyak melonjakkan kerjayanya, namun demi masa depannya yang masih jauh perasaan sedemikian perlu dilupakan.

"Setiap pelumba memiliki sasaran yang sama ingin bergelar pelumba divisyen satu, sekaligus melayakkan diri beraksi dalam perlumbaan paling berprestij di dunia iaitu Le Tour De France. Saya pun begitu," katanya.

Katanya, peluang beraksi dengan pasukan baru yang berstatus divisyen dua itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan lagi pencapaian guna mengharumkan nama negara. - BERNAMA

Artikel Lain