suria

KOAM Perlu Ambil Pendekatan Drastik:Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR: Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) perlu mengambil satu pendekatan drastik bagi memastikan pencapaian sukan itu tidak terus merundum khususnya di peringkat Asia Tenggara, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pencapaian enam emas menerusi olahraga pada Sukan SEA Indonesia baru-baru ini kurang memuaskan dengan lima pingat disumbangkan atlet senior.

"Kita perlu lihat di mana salahnya. Pembangunan? Pengurusan? Atlet yang ada (menyumbang emas) adalah atlet-atlet lama seperti Norsheila Khalid dan Roslinda Samsu.

"Kita nak tengok juga muka-muka baru iaitu pelapis. Ini yang kita harapkan untuk Sukan Sea di Myanmar dua tahun lagi," katanya kepada media selepas menghadiri majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) di Stadium Juara, Bukit Kiara pada Jumaat.

Pada majlis itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyampaikan Shakam berjumlah RM629,996 kepada 91 pemenang pingat emas Sukan SEA Indonesia baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden KOAM Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sebarang isu melibatkan kesatuan termasuk cadangan pihak tertentu agar jawatankuasa tertinggi KOAM meletak jawatan, tidak boleh diputuskan serta-merta.

"Perkara ini hanya boleh diputuskan oleh majlis tertinggi. Biarkan majlis melakukan kerja mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain