suria

Petronas Syntium Team Muncul Juara Perlumbaan MMER 2011

KUALA LUMPUR: Pasukan Petronas Syntium Team muncul juara keseluruhan edisi ke-12 perlumbaan lasak 12 Jam Malaysia Merdeka Endurance Race (MMER) yang berakhir di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tengah malam Ahad.

Memulakan saingan di petak kedua, pelumba trio pasukan Nobuteru Taniguchi, Masataka Yanagida dan Dominic Ang dengan memandu kereta Mercedes SLS GT3 berjaya menamatkan 321 pusingan untuk mengejutkan pilihan utama, pasukan Team Belgian Audi yang menduduki tempat kedua.

Pelumba pasukan Team Belgian Audi terdiri daripada Marcel Fassler, Frank Biela dan Marco Werner.

Pelumba trio pasukan Petronas Syntium itu juga menampilkan saingan cemerlang untuk mengatasi rakan sepasukan Tatsuya Kataoka, Fariqe Hairuman dan Bernd Schneider, yang memulakan perlumbaan di barisan depan.

Taniguchi/Yanagida/Ang muncul juara selepas mencipta masa keseluruhan 12'01:57.624s diikuti Team Belgian Audi (12'03:08.113s) manakala Kataoka/Hairuman/Schneider ketinggalan enam pusingan dengan masa 12'02:22.211s.

"Kami amat bangga atas kejayaan...lebih-lebih lagi dua tempat podium memang kami tidak jangka untuk menang tetapi selepas melihat rakan sepasukan menghadapi masalah di pit, kami membuka langkah dan ianya berbaloi," kata Ang dalam kenyataan di sini.

Dalam kategori Sports Production, pasukan Nexus Racing Team dengan barisan pelumba Adrian D'Silva, Mohd Fahrizal Hasan dan Ian Ross Geekie muncul juara dan tempat ketujuh keseluruhan dengan menamatkan 277 pusingan dalam masa 12'01:58.479.

Manakala kategori Touring Production pula, Teh Kian Boon, Aloysius Lek, dan Desmond Soh dari pasukan ST Powered muncul juara dengan menghabiskan 274 pusingan dalam masa 12'03:34.345s.

Selain menyambut Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini, perlumbaan MMER itu adalah untuk memperingati sambutan Hari Malaysia pada 16 September. BERNAMA

Artikel Sebelum

Yuzy Puas Hati Aksi Zaqwan

Artikel Berikut

Arsenal Terus Ditimpa Malang

Artikel Lain