suria

Pengurusan Piala Presiden T-Team Beri Jaminan Bela Zulhairie

MARANG: Nasib Zulhairie Ahmad Tarmizi terbela setelah pihak pengurusan pasukan Piala Presiden T-Team memberi jaminan kecacatan tidak menghalang pemain pertahanan itu terus bersama pasukan itu.

Pengurus pasukan Mohd Sukanther Abd Hamid berkata bagaimanapun ia bergantung kepada jurulatih sama ada masih mengekalkan pemain itu atau sebaliknya.

Katanya pihak pengurusan tiada masalah untuk mengambil Zulhairie terus berada dalam pasukan itu namun bimbang pemain itu tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

"Kita berdukacita dengan insiden yang menimpa ke atas pemain muda ini. Kita akan memberi peluang jika dia mampu memberi komitmen di dalam bola sepak," katanya ketika melawat Zulhairie di sini Ahad.

Sementara itu, Zulhairie ketika ditemui berkata jika diberi peluang oleh pihak pengurusan untuk terus bermain, dia akan merebut peluang itu dengan memperbaiki tahap persembahannya.

Katanya kecacatan yang dialami sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan karier dalam arena bola sepak.

"Jika berpeluang saya akan cuba memberikan yang terbaik dan kecacatan yang menimpa saya bukan penghalang untuk saya membuktikan saya mampu melakukan yang terbaik walaupun kehilangan lima jari,"katanya.

Pada 7 Ogos lalu, Zulhairie putus kesemua jari tangan kanannya akibat digilis mesin tebu ketika sedang berniaga air tebu di bazar Ramadan di sini.

Selain tidak dapat meneruskan kerjaya sebagai pemain bola sepak, Zulhairie juga perlu menyediakan wang kira-kira RM1,200 sebulan bagi menampung kos rawatan susulan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain