suria

Misi Buru Kejuaraan Badminton Dunia Pertama Bermula Isnin Ini

MAMPUKAH pasukan badminton negara menamatkan kemarau kejuaraan pada Kejohanan Badminton Dunia yang akan membuka tirainya di London, Isnin ini?

Realistiknya, tumpuan kini lebih disandarkan kepada pemain No.1 dunia, Datuk Lee Chong Wei untuk memburu kejuaraan dunia pertama buat negara.

Jika diukur prestasi permainannya dalam beberapa kejohanan pada tahun ini, Chong Wei dilihat cukup konsisten malah berada pada tahap terbaik dalam sejarah kariernya untuk menebus kekecewaan pada kejohanan yang sama tahun lalu.

Pada 2010, kecederaan belakang yang dialami beliau menyebabkannya tewas mengejut di tangan jaguh Indonesia, Taufik Hidayat pada peringkat suku akhir.

Namun dalam tempoh kurang daripada 48 jam, Chong Wei perlu memastikan beliau sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental.

Malah beliau perlu sentiasa tenang dalam setiap permainan terutamanya seperti yang dipamerkan ketika mempertahankan kejuaraan All England di Birmingham, Mac lalu selepas menewaskan bintang kelahiran China, Lin Dan pada perlawanan akhir.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pemain pilihan utama pada kejohanan ini akan bertemu Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand di pusingan pembukaan, Isnin ini.

Laluan anak kelahiran Pulau Mutiara itu ke final tidak mudah memandangkan kehadiran naib juara pada Kejohanan Badminton Dunia tahun lalu, Taufik, musuh ketatnya dari China, Lin Dan dan beberapa nama besar yang lain mungkin memberi tentangan sengit pada kali ini.

Juara Olimpik 2008 di Beijing, Lin Dan pula akan berdepan pemain kurang ternama, Kestutis Navickas dari Lithuania.

Seorang lagi pemain perseorangan negara, Wong Choong Han akan bertemu Hsieh Yu Hsing dari Taiwan pada pusingan pertama.

Bagi kategori beregu lelaki negara, Mohd Zakry Abdul Latif/Hoon Thien How mampu menarik nafas lega apabila juara Olimpik, Markis Kido/Hendra Setiawan menarik diri daripada kejohanan 8-14 Ogos ini selepas Markis disahkan menghidap demam kepialu.

Begitupun, laluan Mohd Zakry/Hoon tidak mudah selepas penarikan diri pasangan dari Indonesia itu.

Pasangan negara itu dijadualkan bertemu Markis/Hendra di pusingan ketiga andai melepasi dua ujian awal, berdepan juara dunia 2005, Howard Bach/Tony Gunawan (pusingan pertama) dan pilihan ke-10 dari Taiwan, Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu (pusingan kedua).

Tidak dinafikan pusingan pertama sentiasa menjadi halangan terbesar kerana setiap pemain masih perlu menyesuaikan diri dengan keadaan angin dan gelanggang.

Kebanyakan pemain belum dapat memberikan fokus 100 peratus di peringkat ini tetapi ia tidak sepatutnya dijadikan alasan jika ingin merangkul kejuaraan berprestij ini.

Berdasarkan undian dalam kategori beregu wanita, gandingan mantap Chin Eei Hui/Wong Pei Tty akan menentang pasangan England, Jenny Wallwork/Gabrielle White pada pusingan pertama.

Malaysia turut mengharapkan gandingan Chan Peng Soon/Lim Khim Wah (beregu lelaki), Ng Hui Ern/Ng Hui Lin (beregu wanita), Peng Soon/Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Ong Jien Guo/Chong Sook Chin (beregu campuran) untuk menghadirkan sebarang kilauan pingat.

Sementara itu, semua pemain negara menjalani latihan di gelanggang pertandingan di Arena Wembley buat pertama kali pada Sabtu selepas hanya dibenar menggunakan dewan latihan pada hari pertama berlatih di London, Jumaat.

Walaupun berkesempatan menjalani latihan terpencil di Universiti Bath, England selama lapan hari, semangat pemain berada pada tahap tertinggi dan fokus sebelum memulakan saingan sebenar, Isnin ini.

Artikel Lain