suria

Atlet Perlis Gondol Emas 3KM Individual Pursuit

KUALA LUMPUR: Kontinjen Perlis menerusi pecutan kayuhan Ju Pha Som Net menepati ramalan apabila berjaya menggondol emas dalam acara 3km Individual Pursuit Wanita pada hari kelima Sukan Malaysia ke-14 di Velodrom Cheras sehingga tengah hari Isnin.

Bercakap kepada Bernama, beliau yang juga merupakan atlet basikal wanita negara berkata ini merupakan emas keduanya dalam acara berbasikal setelah kelmarin meraih emas dalam acara 10km scratch race wanita.

"Dah jangka menang...tapi saya tidak sangka saingan daripada mereka bertenaga hari ini," kata anak kelahiran Chuping, Perlis.

Pada perlumbaan itu, Jum Pha berjaya memecut laju dengan keputusan masa 4 minit 16.727 saat menewaskan saingan kejar-mengejar oleh Nurul Ahmar Badeuzzaman dari Selangor yang ketinggalan jauh 6.794s di belakang.

Pingat gangsa dimiliki oleh Nurul Nadia Mohamad Fauzi dari Pahang dengan mencatat masa 4:28.574s menewaskan pesaing dari Johor, Nurul Sakinah Abd Karim (4:29.895s) untuk penentuan tempat ketiga dan keempat. Saingan kategori 4km Individual Pursuit Lelaki pula menyaksikan Ahmad Fakhrullah Alias berjaya meraih emas pertama buat kontinjen Pahang.

Beliau yang berjaya membuat kayuhan 5:08.849s menewaskan peserta Wilayah Persekutuan, Wan Syazwan Afiq Wan Shahril Anwar dengan kelebihan 2.401 saat.

Perebutan pingat gangsa pula dimiliki oleh Muhammad Faiz Izzudin Omar dari Selangor dengan mencatat masa 5:13.551s setelah berjaya mengatasi tentangan hebat peserta dari Terengganu, Muhammad Shobry Abdullah (5:13.855s) untuk masing-masing meraih tempat ketiga dan keempat.

"Saya bangga dapat hadiahkan emas pertama dalam temasya ini. Saya harap petang ini saya mampu meraih sebarang pingat dalam acara 30km Kutip Mata," katanya.

Dalam saingan Team Sprint (Pecut Berpasukan) Lelaki, peserta trio Selangor, Hamdan Hamidun, Malek Marcus McRone dan Muhammad Elmi Jumari berjaya membuat pecutan 1:07.390s untuk menewaskan peserta trio Pahang dengan kelebihan 1.443s bagi merangkul pingat emas.

Penentuan tempat ketiga dan keempat pula menayaksikan trio Terengganu menyandang pingat gangsa dengan keputusan masa 1:07.024s setelah menewaskan trio Kedah yang mengambil masa 1:08.089s.

Bagi Team Sprint Wanita pula menyaksikan pelumba duo Terengganu Ummi Hamimah Mohamad dan Zahraa Anuawar bernasib baik dapat ulangi semula aksi akhir setelah rantai basikal Zahraa terlucut.

Mereka berjaya membuat keputusan masa 51.699s, 0.62s di hadapan atlet duo Selangor untuk meraih pingat emas sementara atlet duo Kedah merangkul gangsa (54.616s).

Saingan bermula petang ini bakal menyaksikan acara akhir 30km Point Race Lelaki dan 20km Point Race Wanita dan Individu Sprint Lelaki dan Wanita. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain