suria

Sukma 2011: Melaka Johan Polo Air Wanita

KUALA LUMPUR: Pasukan polo air wanita Melaka seperti yang dijangka dinobatkan sebagai johan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-14 di sini Selasa.

Menerusi format "round robin", Melaka yang memenangi kesemua perlawanan meraih mata tertinggi untuk membawa pulang emas diikuti Selangor dengan perak manakala Wilayah Persekutuan memperolehi gangsa.

Pada perlawanan terakhir hari ini, skuad di bawah bimbingan jurulatih Fan Kow Jan itu mudah menundukkan pasukan tercorot Pulau Pinang 43-3.

Fan berkata anak buahnya tidak menunjukkan keupayaan mereka yang sebenar pada perlawanan hari ini memandangkan mereka bertemu pasukan yang lemah.

Sebaliknya beliau memuji sikap pemain Pulau Pinang yang tidak mudah mengaku kalah dan bersungguh-sungguh bermain sehingga tamat perlawanan.

"Mereka telah mencuba yang terbaik. Walaupun tahu sukar untuk menang, mereka tetap berusaha dan menetapkan target mereka sendiri," katanya kepada Bernama di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil.

Gol pertama Pulau Pinang yang dijaringkan ketika pasukan itu ketinggalan 0-40 pada suku ketiga perlawanan, telah diraikan dengan sorakan gemuruh daripada para penonton.

Menurut Fan, beliau telah menurunkan pemain simpanan pada suku keempat perlawanan bagi memberi galakan kepada pasukan Pulau Pinang.

"Saya boleh lihat mereka semua adalah perenang yang baik. Jika mereka terus berlatih dalam tempoh setahun, prestasi mereka akan banyak berbeza pada Sukan Malaysia seterusnya," katanya.

Selain itu, beliau yang juga jurulatih polo air kebangsaan berkata beliau telah mengenal pasti beberapa pemain wanita dari pasukan Selangor dan Wilayah Persekutuan yang dilihat berpotensi untuk mewakili negara dalam Sukan SEA di Indonesia pada November ini. - BERNAMA

Artikel Lain