suria

Ahmad Sarji Dilantik Sebagai Ketua Kontinjen Sukan Olimpik 2012

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dinamakan sebagai Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2012 di London yang akan berlangsung dari 27 Julai hingga 12 Ogos tahun depan.

Bagi temasya Sukan SEA di Indonesia, timbalan presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamed akan mengetuai kontinjen Malaysia di Jakarta sementara presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Datuk Syed Mustaffa Syed Ali menjadi ketua kontinjen ke Palembang.

Temasya dwitahunan itu akan berlangsung dari 11 hingga 25 November tahun ini.

Setiausaha kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Sieh Kok Chi berkata, nama ketua-ketua kontinjen itu diluluskan oleh badan itu pada mesyuaratnya Sabtu lepas.

"Kesemua nama dicalonkan bulan lepas dan diluluskan oleh anggota majlis MOM pada Sabtu lepas," katanya, Rabu.

Ahmad Sarji adalah presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM).

Gandingan Naim dan Syed Mustaffa sebagai ketua kontinjen bersama mengulangi gandingan Datuk Ho Koh Chye dan Norminshah Sabirin ketika temasya Sukan SEA Vietnam pada 2003 yang diadakan di Hanoi dan Bandaraya Ho Chi Minh.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain