suria

Beng Hai Tagih Aksi Terbaik Pasukan

PETALING JAYA: Ketua jurulatih hoki negara, Tan Beng Hai mengharapkan pemain-pemainnya mempamerkan aksi terbaik menjelang perlawanan edisi ke-20 Piala Sultan Azlan Shah pada 5 hingga 15 Mei ini di Ipoh.

Biarpun sedar kehebatan lawan, Beng Hai tetap positif dan mengambil cabaran ini sebagai langkah untuk persiapan pasukan untuk ke Kelayakan Olimpik tahun depan.

“Mereka hanya mula berkumpul lebih kurang empat minggu selepas Sukan Asia hujung tahun lalu, dan kini cuba mencari rentak permainan.

"Kami juga turut mengadakan siri perlawanan persahabatan dengan pasukan junior dan sebelum beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan pasukan New Zealand dan Pakistan,” katanya kepada Mstar Online.

Beng Hai berkata, pemain-pemain yang ada ini akan terus dipantau berdasarkan siri latihan mahupun penglibatan mereka dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (LHM).

“Seramai 25 pemain yang sedang mengikut kem latihan negara dan senarai penuh untuk perlawanan Piala Sultan Azlan Shah dijangka akan diumum selepas perlawanan persahabatan itu nanti.

“Menjelang perlawanan minggu depan, saya yakin mereka boleh bermain dengan baik dan saya berpuas hati dengan aksi perlawanan persahabatan sebelum ini. Secara realistiknya, Persatuan Hoki Malaysia (PHM) meletakkan sasaran untuk melihat mereka menamatkan saingan pada kedudukan keempat keseluruhan.

“Rata-rata negara yang bertandingan merupakan pasukan yang berada dalam kelompok lapan terbaik, manakala Malaysia berada dalam ranking ke-15 dunia. Pun begitu ia tidak menjadi tekanan kepada kita kerana saya yakin dengan aksi mereka,” katanya.

Antara pasukan yang turut beraksi termasuk New Zealand, India, Pakistan, Britain, Korea Selatan dan Australia.

Selain itu, Beng Hai berkata sasaran utama pasukan tahun ini ialah untuk mengumpul mata pada Cabaran Juara-Juara 1 di Afrika Selatan, Disember ini.

“Kejohanan ini amat penting kerana ia memberi mata untuk ranking dunia sekali gus menjadi salah satu faktor kedudukan kumpulan bagi aksi Kelayakan Olimpik tahun depan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain