suria

200 Peserta Asia Berentap Dalam Golf Masters Clearwater

IPOH: Sebanyak 200 peserta akan menyertai Kejohanan Golf Clearwater Masters yang akan berlangsung selama tiga hari bermula Khamis ini bertempat di Clearwater Sanctuary Golf Resort (CSGR), Batu Gajah dekat sini.

Kejohanan berupa salah satu dari siri Asian Tour Development yang diadakan bagi mencungkil dan menggilapkan bakat-bakat baru dalam sukan ini.

CSGR merupakan venue kedua selepas Grameenphone Bangladesh Masters yang mana kejohanan itu telah dimenangi peserta Bangladesh Siddikur Rahman.

Pengerusi Eksekutif Kejohanan, Kyi Hla Han berkata pemain yang akan berentap Khamis ini termasuk dari Korea Selatan, Jepun, England, Taiwan, Thailand, India dan Bangladesh.

"Apa yang menarik, kejohanan ini menyediakan hadiah wang tunai sebanyak AS$75,000 selain tiga pemenang utama akan bermain pada Jelajah Asia 2012," katanya.

Pada kejohanan yang sama tahun lepas, pemain negara S. Siva Chandhran dan Akhmal Tarmizee yang mendapat tempat pertama dan ketiga layak bermain pada Jelajah Asia musim ini.

"Ramai pemain muda berbakat di negara ini berminat untuk mencari pengalaman serta menajamkan permainan mereka. Kita percaya ramai pemain muda berkebolehan seperti Siva dan Akhmal akan menggunakan kejohanan ini sebagai platform untuk ke peringkat yang lebih tinggi," kata Kyi.

Antara pemain yang dijangka mendominasi kejohanan kali ini ialah pemain berbakat dari Jepun Yosuke Tsukada, Md. Shakhawat Sohel dari Bangladesh dan dua pemain tempatan Sukree Othman dan Haziq Hamizan.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain