suria

Negeri Sembilan Buntu Cari Formula Kemenangan

SEREMBAN: Negeri Sembilan masih buntu mencari formula kemenangan untuk memperbaiki kedudukan dalam senarai Liga Super musim ini.

Kehadiran bekas pengendali pasukan Harimau Muda A, Mohd Azraai Khor Abdullah yang dilantik sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan yang baru bagi menggantikan Wan Jamak Wan Hassan pada 21 Mac lepas, setakat ini belum menampakkan perubahan yang diharapkan.

Sejak Azraai yang juga bekas ketua jurulatih skuad Kedah itu mengambil alih tugas ketua jurulatih dan bermulanya pusingan kedua Liga Super 2 April lepas, Negeri Sembilan mencatatkan keputusan dua seri dan dua kekalahan.

Kekalahan terbaru dicatatkan pada perlawanan menentang Kedah di sini malam semalam di mana pada perlawanan itu, Negeri Sembilan tewas 0-2.

Keputusan perlawanan yang kurang menyenangkan yang dialami skuad Rusa itu telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak termasuk para penyokong setia Negeri Sembilan.

Namun kebanyakan mereka tidak mahu melihat Negeri Sembilan terhumban ke tangga terbawah senarai liga.

Timbalan Presiden Kelab Penyokong Negeri Sembilan, Mohd Faidzul Mohd Noh ketika ditemui hari ini berkata, ahli kelab itu kini hilang sabar selepas menyaksikan prestasi bekas juara Piala Malaysia itu terus hambar apabila terus gagal mencatatkan kemenangan sejak Azraai Khor mengendalikan skuad Rusa.

Beliau menyalahkan tindakan individu tertentu yang bertanggungjawab membuat rombakan dengan menyisihkan beberapa pemain yang sudah membuktikan sumbangan berkesan seperti Rezal Zambery Yahya, nyata satu percaturan yang silap dan beliau mahu individu terbabit bertanggungjawab terhadap kemerosotan pasukan ketika ini.

Katanya Azraai Khor tidak boleh dipersalahkan dengan kemerosotan yang dialami pasukan ketika ini kerana beliau sudah mencuba untuk memperbaiki keadaan sebaik memikul tanggungjawab itu daripada Wan Jamak.

Sementara itu, Azraai Khor ketika mengulas keputusan perlawanan menentang Kedah, berkata pihaknya begitu kecewa dengan persembahan pemain Negeri Sembilan kerana mensia-siakan peluang dan kelebihan yang dimiliki.

Katanya pihaknya sudah memberikan mereka peluang untuk menunjukkan persembahan yang terbaik tetapi mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi.

"Saya begitu kecewa dengan persembahan ini kerana pemain tidak mempamerkan persembahan yang diharapkan," katanya yang masih menaruh harapan tinggi agar anak buahnya bangkit pada perlawanan berikutnya demi mempertahankan maruah pasukan yang kian tercalar.

Daripada 10 perlawanan setakat ini, Negeri Sembilan kini mengumpul 11 mata untuk menduduki tempat ke-11 daripada 14 pasukan yang bersaing dalam Liga Super musim ini.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain