suria

Penguins International Juara Ragbi HSBC-Cobra

PETALING JAYA: Penguins International RFC muncul juara Kejohanan Ragbi HSBC-Cobra 10 Sebelah edisi ke-41 di Stadium Petaling Jaya di sini Ahad.

Pasukan England itu menewaskan NZ Legends dari New Zealand 21-7 pada perlawanan akhir yang berlangsung dalam keadaan hujan lebat lewat petang tadi.

Penguins membawa pulang US$5,000 (RM16,500) manakala naib juara, NZ Legends meraih US$2,500 (RM8,250).

Sementara itu, dalam perlawanan merebut piala 'Plate' pasukan tuan rumah Cobra Blacks kecundang di tangan Gungahlin Eagles 19-15.

Meskipun mendapat sorakan bersemangat dari peminat ragbi tanah air, Cobra Blacks yang mendahului 15-14 gagal mempertahankan kedudukan apabila pemain Gungahlin Eagles melakukan 'try' pada minit-minit untuk meraih lima mata.

Timbalan pengerusi jawatankuasa penganjuran kejohanan itu, Datuk Krishnan Tan berkata kejohanan tersebut memberi peluang kepada pemain kebangsaan menimba pengalaman bermain dengan pasukan yang mempunyai tahap permainan lebih tinggi.

"Kita mengambil peluang dari kejohanan ini untuk melatih pemain kebangsaaan dan pada yang sama, menjalankan program pembangunan," katanya kepada media.

Selain Cobra Blacks, pasukan tempatan lain yang mengambil bahagian termasuk Cobra Stings, Borneo Eagles, NS Wanderers dan ASAS RFC. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Liga Perdana Inggeris

Artikel Lain