suria

Sukan Asia: Skuad Snuker Sasar Ke Suku Akhir

SEPANG: Skuad snuker dan biliard negara menaruh harapan untuk mara ke saingan suku akhir dalam kategori individu dan berpasukan pada Sukan Asia di Guangzhou, China yang akan bermula esok hingga 27 November ini meskipun menyedari saingan pasukan tuan rumah.

Jurulatih kebangsaan David Ong berkata selain saingan daripada tuan rumah, pasukan dari Qatar dan Hong Kong turut dilihat berpotensi untuk menggugat peluang negara mara sekurang-kurangnya ke suku akhir.

"Walaupun saya menaruh harapan sekadar layak mara ke suku akhir, namun saya tetap mengharapkan mereka mampu membuat kejutan dengan membawa pulang pingat.

"Ini kerana saya melihat peluang pada kali ini nyata sukar kerana atlet dari China, khususnya, dilihat menunjukkan peningkatan yang tinggi sejak tahun 2006," katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Khamis.

Skuad snuker dan biliard negara bersama-sama skuad catur, boling, menembak, hoki lelaki, kriket dan sepak takraw berlepas ke Guangzhou, China pagi ini untuk menyertai temasya sukan kedua terbesar dunia itu.

Ong berkata antara pemain yang disebut-sebut akan menjadi pencabar terkuat adalah pemain China yang memegang ranking kelapan dunia, Ding Junhui.

"Beliau merupakan seorang yang berpengalaman dan professional serta sukar digugat dalam kategori snuker individu lelaki," katanya.

Ong berkata sebagai persiapan terakhir sebelum ke Guangzhou, Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) telah menghantar pemain acara pool bertanding di Kejohanan Antarabangsa Shanghai Masters di Shanghai, China pada 2 hingga 5 Ogos lepas manakala pemain acara snuker mengadakan perlawanan persahabatan dengan Qatar September lalu.

Pada temasya Sukan Asia kali ini, Moh Keen Hoo, Thor Chuan Leong dan Lai Chee Wei akan bertanding dalam acara snuker sementara Ibrahim Amir, Benjamin Lee Poh Soon, Esther Kwan dan Suhana Dewi Sabtu akan beraksi dalam acara pool.

Skuad snuker dan biliard berjaya memperoleh satu pingat perak dalam acara pool wanita menerusi Esther Kwan dan Suhana Dewi Sabtu pada Sukan Asia Doha 2006.-BERNAMA

Artikel Sebelum

Wilkins Tinggalkan Chelsea

Artikel Berikut

Artikel Lain