suria

Keselamatan Stadium Nasional Ditingkat

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meminta bantuan polis, Rela dan pihak pengurusan Stadium Nasional Bukit Jalil untuk meningkatkan tahap stadium itu semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Negeri Sembilan dan Kelantan Sabtu ini.

Naib Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata jumlah anggota keselamatan di sekitar stadium itu akan ditambah yang melebihi bilangan 5,000 seperti sebelum ini.

"Bagi perlawanan Sabtu ini, sebahagian besar anggota keselamatan akan ditempatkan di luar stadium bagi mengelakkan kekecohan selepas berakhirnya perlawanan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan akhir Piala Malaysia musim ini di stadium tersebut pada Isnin.

Negeri Sembilan merupakan juara Piala Malaysia musim lepas sementara Kelantan naib juara.

Berlaku pergaduhan pada perlawanan akhir musim lepas antara kedua-dua pasukan yang menyaksikan Persatuan Bola Sepak Kelantan didenda RM50,000 ekoran tindakan liar penyokongnya dan RM138,000 lagi atas kerosakan Stadium Nasional.

Hamidin berkata pintu masuk utama stadium akan dibuka mulai 4 petang untuk memberi keselesaan kepada para penyokong memilih tempat duduk, tetapi mereka tidak dibenar keluar semula dari stadium.

"Kita akan membuat kawalan keselamatan dengan anggota keselamatan akan membuat pemeriksaan pada setiap badan para penyokong sama ada di luar pintu stadium dan dalam stadium untuk mengelak mereka membawa barang-barang berbahaya ke dalam stadium.

"Kita juga memutuskan untuk tidak membenarkan penjualan makanan dan minuman di perkarangan stadium kerana atas faktor keselamatan. Ini kerana botol minuman akan dijadikan bahan lontaran kepada penyokong lawan," katanya.

Hamidin berkata FAM memutuskan harga tiket ialah RM30 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak (bawah 12 tahun) yang dijual mulai esok di Kelantan dan Negeri Sembilan.

"Buat peringkat fasa pertama, kita mencetak 30,000 keping yang ditempah Kelantan manakala 30,000 lagi ditempah Negeri Sembilan untuk dijual di negeri masing-masing.

"Baki tiket selebihnya akan dibawa dan dijual di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 9 pagi Sabtu. Ini bagi memberi ruang kepada peminat-peminat Negeri Sembilan dan Kelantan untuk membeli tiket di sana nanti," katanya.

Hamidin bagaimanapun berkata cetakan tiket untuk fasa kedua akan diumumkan dalam masa terdekat kerana pihak FAM mahukan faktor keselamatan diutamakan dengan membuat pengosongan bahagian tempat duduk tertentu bagi memisahkan kedua-dua penyokong.

Beliau berkata Negeri Sembilan akan membuat latihan di Stadium Bukit Jalil pada 5 petang manakala Kelantan pada pukul 6 petang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Alonso Juara GP Korea

Artikel Lain