suria

Tuan Rumah Sedia Infrastruktur Mesra OKU

KUALA LUMPUR: Tuan rumah Sukan Para Asia pertama, bandar raya Guangzhou, China, sudah menyediakan kemudahan bersesuaian dengan keperluan atlet-atlet paralimpik, kata presiden Jawatankuasa Paralimpik Asia (APC) Datuk Zainal Abu Zarin.

Beliau berkata selepas beberapa kali mengadakan lawatan dan membuat penilaian projek, pihak penganjur didapati menyiapkan beberapa kemudahan mesra atlet khususnya di kalangan orang kurang upaya dan kini mereka bersedia menganjurkan temasya itu.

"Saya ada melawat beberapa venue termasuk perkampungan atlet pada Mei lepas. Pihak penganjur telah melakukan banyak persediaan dan kemudahan untuk kegunaan semua atlet di perkampungan sukan, venue pertandingan, lapangan terbang dan juga tempat-tempat tumpuan pelancong," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Sukan Para Asia Guangzhou, dari 12 hingga 19 Disember depan, adalah temasya sukan terbesar bagi atlet istimewa di rantau ini menggantikan temasya Sukan Orang Kurang Upaya Timur Jauh dan Pasifik Selatan (Fespic).

Kuala Lumpur merupakan tuan rumah terakhir temasya Fespic pada 2006.

Zainal berkata untuk membantu kelancaran penganjuran temasya Sukan Para Asia, pihak APC menghantar delegasi teknikal untuk semua acara sukan ke Guangzhou.

"Kami turut bekerjasama dengan beberapa badan induk sukan dunia yang lain seperti UCI (Persekutuan Berbasikal Antarabangsa) untuk acara lumba basikal. "Ini penting kerana bermula dengan temasya di Guangzhou, APC telah memperkenalkan standard kelayakan minimum (minimum qualifying standard) untuk semua atlet yang mengambil bahagian.

"Berdasarkan kelayakan itu, kita dapat mengklasifikasikan kelayakan atlet untuk beraksi di Sukan Paralimpik London, pada 2012," katanya.

Sukan Para Asia Guangzhou akan menghimpunkan seramai 5,000 atlet dan pegawai dari 41 buah negara.

Sebanyak 19 acara sukan terdiri daripada 17 acara sukan paralimpik, yang akan menjadi ujian kelayakan bagi menempah tiket ke Sukan Paralimpik London 2012, dan dua acara sukan bukan paralimpik dipertandingkan pada temasya itu.

Acara paralimpik ialah olahraga, renang, memanah, menembak, boccia, lawan pedang berkerusi roda, powerlifting, judo, goalball, bola sepak 7-sebelah, bola sepak 5-sebelah, lumba basikal, tenis berkerusi roda, mendayung, ping-pong, bola tampar duduk dan bola keranjang berkerusi roda manakala acara bukan paralimpik ialah badminton dan boling.

Zainal, yang juga presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), tidak mahu meletakkan sandaran yang tinggi terhadap atlet-atlet paralimpik Malaysia pada temasya kali ini.

"Adalah sukar untuk menyamai pencapaian Malaysia pada temasya Fespic 2006.

"Kini sudah muncul kuasa-kuasa baru dalam sukan paralimpik khususnya dari beberapa negara Asia Barat seperti Iran, Iraq, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu.

"Di samping itu, atlet kita juga perlu berdepan dengan kuasa besar paralimpik iaitu negara tuan rumah, China," katanya. Beliau berkata kira-kira 100 atlet elit paralimpik kini sedang menjalani latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), untuk menghadapi sukan itu.

Pada Sukan Fespic 2006, Malaysia meraih 44 pingat emas, 60 perak dan 77 gangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain