suria

Mohd Shahrul Menang Tempat Kedua

KUALA LUMPUR: Juara Mr Malaysia 2010 bagi acara lightweight (65-70), Mohd Syarul Azman Mahen merangkul tempat kedua dalam kategori World Athletic Physique pada Kejohanan Bina Badan Asia dan Sukan Physique yang berlangsung di Singapura, Ahad.

Pada kejohanan yang merangkumkan acara bagi kategori Asia Tenggara (SEA), Asia dan Dunia itu, seorang lagi atlet bina badan negara yang juga juara Mr Malaysia bagi acara lightheavy (85-90kg), Mohd Noor Syukri Nasir merangkul tempat kedua dalam acara SEA dan ke-empat bagi acara dunia.

Sementara Buda Anchah, yang bertanding dalam Bawah 70kg mendapat tempat ke-lima dalam acara dunia.

Setiausaha kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia, Kamaruzaman Kadir berkata Malaysia menghantar tiga atlet bina badan negara pada kejohanan yang bermula pada Jumaat itu dan merehatkan juara Mr Asia tujuh kali dan Mr Universe lima kali, Sazali Abdul Samad.

"Sazali direhatkan daripada kejohanan di Singapura bagi membolehkan beliau mempertahankan gelaran Mr Universe buat kali ke-enam di Kejohanan Bina Badan Dunia di Varanasi, India dari 27 Oktober hingga 1 November ini," katanya, Isnin.

Kamaruzaman berkata Sazali, Mohd Noor Syukri dan Buda turut dinamakan sebagai wakil Malaysia ke kejohanan di India bersama dua lagi atlet bina badan negara.

"Slot bagi dua lagi atlet bina badan Malaysia akan ditentukan dalam masa terdekat," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain