suria

Mohd Asyraf, Wee Wern Rangkul Emas Acara Skuasy

MELAKA: Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masing-masing mengutip pingat emas pertama skuasy, menerusi acara individu lelaki dan wanita, pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-13 di Kompleks Skuasy Hang Jebat di sini hari ini.

Mohd Asyraf Azan yang mewakili Negeri Sembilan, terpaksa berdepan tentangan hebat daripada Valentino Bong dari Sarawak dalam individu akhir lelaki.

Beliau mendahului set pertama dengan 11-8 namun Valentino bangkit semula pada set kedua bagi menyamakan kedudukan 1-1 dengan catatan 11-9.

Menggunakan taktik mental, Mohd Asyraf berjuang habis-habisan dalam set seterusnya bagi meraih pingat emas pertama Sukma dengan catatan 11-2 dan 11-7.

"Ia saingan yang getir menentang Valentino. Beliau begitu bersemangat untuk memenangi perlawanan ini. Saya berjaya mengekalkan tumpuan dan cuba mengelak daripada mengikuti rentaknya," kata Mohd Asyraf, yang berusia 22 tahun.

Pingat gangsa dimenangi oleh Chong Kam Hing dari Perak setelah menumpaskan peserta Selangor, Muhd Zul Azri Abdul Aziz dalam straight set, 11-3, 11-4 dan 11-9.

Terdahulu dalam acara wanita, peserta pilihan kejohanan dan pemain nombor 4 Malaysia, Low Wee Wern, 20, menang mudah ke atas Siti Munirah Jusoh dari Terengganu dalam perlawanan akhir, sekali gus membolehkannya meraih pingat emas Sukma buat kali ketiga berturut-turut.

Pilihan utama kejohanan, Wee Wern, yang mewakili Pulau Pinang, melengkapkan kemenangan dengan 13-11, 11-1 dan 11-7.

"Set pertama sangat sukar. Dia (Siti Munirah) berjaya mengheret saya hingga ke perlawanan tie-break. Dalam set kedua, dia banyak melakukan kesilapan dan saya segera mengambil peluang," kata Wee Wern.

Pingat gangsa individu wanita diraih peserta Negeri Sembilan, Zulhijah Azan, yang mengalahkan P. Pushpa Devi dari Selangor dalam perlawanan lima set dengan catatan 7-11, 6-11, 11-7, 11-1 dan 12-10.- BERNAMA

Artikel Lain