suria

Penjualan The Reds Langkah Positif

LONDON: Pengurus Rafael Benitez yakin keputusan penjualan Liverpool adalah satu langkah positif untuk mengembalikan zaman kegemilangan The Reds.

Pengurus kelahiran Sepanyol itu dikejutkan dengan pengesahan pemilik bersama Liverpool, Tom Hicks dan George Gillett untuk menjual pegangan saham mereka dalam Anfield ketika meraikan hari lahirnya yang ke-50, semalam.

Pengerusi British Airways, Martin Broughton dilantik sebagai pengerusi Liverpool yang diberi kuasa untuk menyelia penjualan kelab itu dengan menerima nasihat daripada Barclays Capital.

Benitez masih belum bertemu Broughton tetapi bekas pengurus Valencia itu sering kali mengkritik Hicks dan Gillett kerana gagal memberi sokongan kewangan kepadanya dalam pasaran perpindahan pemain.

Pengumuman itu amat mengejutkan Benitez walaupun dia begitu bimbang mengenai tahap kecergasan penyerang Fernando Torres berbanding perkara di luar padang.

"Nampaknya, kelab ini akan maju ke hadapan dan ia langkah positif. Ia amat penting dan berita gembira untuk kelab," katanya.

Menurutnya, Broughton mahu dia kekal tetapi kedua-duanya belum bertemu. Jadi pertemuan pertama kelak akan membolehkan mereka bercakap mengenai apa saja.

"Saya yakin kami akan berbincang mengenai situasi pada ketika ini dan masa depan tetapi saya lebih prihatin mengenai kecederaan Torres," katanya.

Kecederaan lutut yang dialami Torres menyebabkan bintang Liverpool itu diketepikan ketika terikat seri tanpa jaringan dengan Fulham pada minggu lalu.

Pada perlawanan itu, Torres dilaporkan berlepas ke Barcelona untuk bertemu Dr Ramon Cugat yang melakukan pembedahan ke atasnya, Januari lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain