suria

Mini Olimpik platform utama skuad menembak ke Tehran dan Laos

KUALA LUMPUR: Kejohanan Mini Olimpik akan menjadi pentas utama bagi Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) dalam pemilihan skuad ke Sukan Perpaduan Islam Kedua di Tehran serta Sukan SEA di Laos Disember depan.

Setiausaha Eksekutif NSAM Mejar Jasni Shaari berkata penilaian secara berterusan melibatkan dua lagi kejohanan tempatan lain akan dilakukan sebelum senarai nama akhir penembak dicalonkan ke Laos.

"115 penembak yang terdiri daripada skuad elit dan pelapis yang telah terpilih beraksi di Mini Olimpik sepatutnya menggunakan temasya ini bagi membuktikan prestasi masing-masing.

"Ini merupakan peluang untuk mencari penembak terbaik memandangkan mereka yang terpilih untuk menyertai Mini Olimpik sudah melalui ujian kelayakan sebelum ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Penembak kebangsaan, Bibiana Ng, Nur Masitah Mohd Badrin dan Joseline Cheah yang baru kembali dari penggantungan dua tahun oleh Persekutuan Menembak Antarabangsa (ISSF) juga akan beraksi pada Mini Olimpik dalam usaha merebut tempat ke dua kejohanan itu.

Pada Mini Olimpik nanti, acara menembak dijadualkan berlangsung dari 30 Julai hingga 4 Ogos, melibatkan sembilan acara. BERNAMA

Artikel Lain