suria

Impian Farid Kamil terbit filem sendiri terlaksana, ‘Remp-it 2’ buah tangan pertama selepas 16 tahun

Selain berlakon, Farid Kamil turut bertindak sebagai penerbit dan pengarah filem Remp-it 2.

IMPIAN pengarah dan pelakon Farid Kamil untuk menerbitkan filem Remp-it 2 akhirnya terlaksana apabila naskhah terbaharunya itu bakal menemui penonton pada 24 November depan.

Farid berkata, dia mengambil masa selama 16 tahun untuk menerbitkan filem sekual ini disebabkan kekangan faktor kewangan memandangkan ia diterbitkan menerusi syarikat produksi miliknya iaitu FKX Film.

"Mengenai masa yang diambil terlalu lama iaitu 16 tahun untuk sekual ini, ia disebabkan saya mahu mengumpul modal terlebih dahulu sebelum menerbitkan Remp-it 2.

"Tambahan pula, saya bukan sekadar berlakon tetapi turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah dan penerbit di bawah syarikat saya sendiri.

IMG_5194

Niezam Zaidi salah seorang pelakon filem berkenaan.

"Sejak dahulu lagi saya memang menanam cita-cita mahu terbitkan filem ini di bawah syarikat sendiri dan Alhamdulillah impian itu terlaksana," katanya menerusi kenyataan media kepada mStar.

Filem Remp-it 2 membariskan pelakon hebat seperti Cat Farish, Julia Hana, Izzue Islam, Niezam Hadi, Farez Ridzwan, Shiha Zikir, Chiwan Chilok dan Mamak Puteh.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Siku 12: Langkah Derhaka’ ketengah seni persilatan tua Melayu, penerbit yakin dapat tarik penonton ke pawagam

ARTIKEL BERKAITAN: Pengarah nampak bakat terpendam Sharul Kamal, beri peluang bawa watak utama dalam filem ‘SERATUS’

Menariknya filem ini turut menampilkan anak sulungnya, Muhammad Farid Kamil atau Che Mad sebagai pelakon.

Bercakap lanjut mengenai Remp-it 2, Farid memberitahu menerusi filem ini, ia bakal menampilkan adegan perlumbaan motosikal Asian Racing yang tidak pernah ada dalam mana-mana filem tempatan sebelum ini.

Selepas filem pertama, ramai yang tertanya-tanya adakah Madi mati? Jadi, dalam Remp-it 2 ini adalah jawapannya.

FARID KAMIL

PENERBIT REMP-IT 2

Malah katanya, penggambaran turut dibuat pada hari perlumbaan sebenar termasuk di Asia Racing di Litar Sepang dan Cub Prix Malaysia yang berlangsung di Terengganu.

"Lebih menarik kami menggunakan lebih 1,000 motosikal untuk penggambaran termasuk pelakon utama dan tambahan," jelasnya.

Dalam pada itu, Farid memberitahu filem itu sudah menjalani penggambaran pada 2019 selama 55 hari di sekitar Johor Bahru, Pahang, Terengganu, Kuala Lumpur dan Melaka.

IMG_2924

Che Mad turut berlakon dalam Remp-it 2.

Malah bagi menzahirkan realiti dunia permotoran, Farid memberitahu dia turut mendapat kebenaran untuk menjalani penggambaran di terowong Karak yang cukup sinonim dengan pengguna jalan raya dan penunggang motosikal.

"Seperti sedia maklum, terowong lebuh raya Karak adalah jalan yang sinonim dengan pengguna jalan raya dan penunggang motosikal. Kami pula mendapat peluang 'berlumba' di situ. Apa yang menarik lagi, medium utama dalam filem rempit adalah motosikal.

"Cabaran utama sebagai pengarah adalah kekangan masa kerana walaupun dilakukan selama 55 hari, ia memberikan cabaran kepada saya sebagai pengarah dan pelakon tetap ada kerana ia bukan sesuatu mudah seorang pelakon asal membuat skrip filem seterusnya 16 tahun menjadi penerbit.

DSC05843

Farid teruja dapat kembali mengarah selepas 16 tahun.

"Tambahan pula semua sedia maklum masalah menimpa saya ketika peluang untuk mengarah itu datang. Selain itu, cabaran dihadapi adalah penggambaran untuk babak perlumbaan banyak dilakukan pada waktu siang berbanding filem pertama yang banyak sebelah malam," katanya.

Sementara itu, Farid berkata, sebagai penerbit dia berharap penonton akan memberi sokongan kepada filem terbaharunya terutamanya dalam kalangan pencinta motosikal.

Malah katanya, jalan cerita dipaparkan juga sesuai ditonton seisi keluarga termasuk kanak-kanak dan menerusi sekual itu ia menjawab beberapa persoalan menerusi Remp-it.

IMG_4376

Salah satu babak dalam Remp-it 2.

"Kepada peminat dunia permotoran, dalam filem ini kami ada paparkan semua jenis motosikal, daripada motosikal kapcai hingga superbike serta offroad. Saya percaya filem ini juga mampu memberi kepuasan kepada semua penonton.

"Apa yang ingin saya tekankan, untuk jalan cerita Remp-it 2 ini ia sesuai untuk ditonton seisi keluarga, kanak-kanak, remaja dan pengikut filem Rempit yang pertama.

"Selepas filem pertama, ramai yang tertanya-tanya adakah Madi mati? Jadi, dalam Remp-it 2 ini adalah jawapannya," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain