suria

‘Siku 12: Langkah Derhaka’ ketengah seni persilatan tua Melayu, penerbit yakin dapat tarik penonton ke pawagam

Filem Siku 12: Langkah Derhaka menampilkan Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim.

TIDAK hanya konflik cinta dan persahabatan sebagai elemen dramatik, filem terbaharu Siku 12: Langkah Derhaka bakal memperlihatkan persilatan Melayu dan seni mempertahankan diri Muay Thai digabungkan dalam sebuah karya.

Penerbit Eksekutif, Mohd Hafiz Mohd Nafiah berkata, filem yang menelan kos sebanyak RM1.2 juta ini mengetengahkan ilmu persilatan seni silat tua Melayu iaitu permainan 12.

"Saya percaya filem Siku 12 mempunyai potensi untuk diketengahkan termasuk di peringkat antarabangsa kerana ia mengetengahkan ilmu persilatan seni sliat tua Melayu iaitu permainan 12.

"Insya-Allah dengan gabungan silat dan Muay Thai ini ia mampu menarik minat penonton ke pawagam apatah lagi selepas melihat maklum balas positif," katanya.

Zahiril

Zahiril Adzim antara pelakon utama filem Siku 12: Langkah Derhaka.

Filem terbitan Power Team Entertainment Sdn Bhd ini menampilkan barisan pelakon Syafiq Kyle, Zahiril Adzim, Moon, Lobak, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar, Pon Muay Thai, Anas Mentor dan ramai lagi.

Filem arahan Azhari Zain itu akan mula ditayangkan di 66 pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei bermula 27 Oktober depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Garapan 5 pengarah dalam ‘Juang’ jentik jiwa penonton kisah berdepan pandemik Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Hairul Azreen ‘kecut perut’ filem arahannya bersaing dengan ‘Juang’ dan ‘Abang Long Fadil’

Mohd Hafiz berkata, filem itu menjalani penggambaran bermula Oktober 2019 namun ia hanya siap sepenuhnya termasuk proses suntingan dan persediaan tayangan di pawagam pada tahun ini.

Mengulas cabaran menerbitkan filem bergenre aksi, kata Mohd Hafiz, bukan mudah untuk merealisasikannya kerana ia memerlukan lokasi gelanggang yang besar.

WhatsApp Image 2022-09-13 at 10.58.08 PM

Selaku penerbit eksekutif, Mohd Hafiz yakin filem ini akan mendapat sokongan penonton.

"Kami juga menyediakan jurulatih profesional bagi memberi tunjuk ajar kepada pelakon ketika babak bertinju.

Malah pelakon utama, Syafiq Kyle perlu berlatih selama dua minggu sebelum memasuki lokasi penggambaran.

"Filem Siku 12 hanya menampilkan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI) sebanyak 10 peratus," katanya.

Apa yang menarik, kata Mohd Hafiz, filem Siku 12 menampilkan seramai 20 penari menora dari Persatuan Manora Kedah dan Manora Kham Kampung Kalai.

Persilatan

Antara babak silat dalam filem yang bakal menemui penonton 27 Oktober depan.

"Kami turut menampilkan ratusan pelakon tambahan untuk menjadi penonton di luar gelanggang.

Jumlah penonton yang ramai diperlukan untuk menonjolkan suasana sebenar ketika pertandingan diadakan membabitkan peninju," katanya.

Ditanya harapan terhadap filem Siku 12, kata Mohd Hafiz, pihaknya sudah berusaha memberikan terbaik pada filem dan hanya menyerahkan pada penilaian penonton.

"Saya yakin dengan momentum yang ada selepas kejayaan luar biasa filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan, filem genre aksi juga akan mendapat tempat di hati penonton," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain