suria

Garapan 5 pengarah dalam ‘Juang’ jentik jiwa penonton kisah berdepan pandemik Covid-19

Filem Juang suntik emosi penonton berdeman fasa pandemik.

MENGANGKAT kisah perjuangan masyarakat berdepan fasa pandemik akibat penularan wabak Covid-19, filem Juang dilihat sebagai sebuah karya yang menampilkan kelainan dengan membawa mesej tersendiri.

Lebih menarik tentang filem ini, ia digarap menerusi gabungan lima orang pengarah dan sesi penggambaran juga dijalankan ketika prosedur operasi standard (SOP) masih ketat dilaksanakan sekitar tahun 2021.

Lima pengarah yang terlibat mengarap setiap jalan cerita sendiri adalah Matt Lai, Datuk Yusry Abdul Halim Aziz M Osman, Osman Ali dan Kabir Bhatia.

Mengetuai barisan pengarah, Matt berkata meskipun ia dihasilkan oleh lima sutradara berbeza, namun gabungan dan hasil akhir filem menjanjikan satu jalan cerita yang boleh menyuntik pelbagai emosi dalam jiwa penonton.

juang 6

Setiap pengarah dalam Juang membawa jalan cerita tersendiri.

"Walaupun ada lima pengarah dalam satu masa sama, setiap orang menyuntik rasa dan kreativiti berbeza. Jalan ceritanya berkesinambungan dan semua konsisten dalam mengatur perjalanan cerita.

"Kami menyajikan kisah yang pernah dilalui rakyat ketika pandemik. Mungkin 30 peratus daripadanya kisah benar, tetapi keseluruhan filem ini mendapat inspirasi daripada kejadian yang pernah berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Air Force The Movie: Selagi Bernyawa’ kutip RM13 juta kurang tempoh seminggu, petanda baik buat industri filem tempatan

ARTIKEL BERKAITAN: Beto Kusyairy tak goyang ‘Anak Rimau The Movie’ bertembung ‘Air Force The Movie’, raikan kepelbagaian genre filem tempatan

"Sebagai contoh, babak di lapangan terbang membabitkan usaha membawa pulang lebih 100 rakyat Malaysia yang berada di Wuhan, China. Itu adalah kisah nyata yang digarap oleh Kabir dalam filem ini," katanya.

Menelan belanja sebanyak RM6 juta, filem terbitan kolaborasi Asia Tropical Films Sdn Bhd bersama The Engine Sdn. Bhd ini melibatakan seramai 335 orang pelakon dengan 100 antara mereka merupakan peranan utama dalam setiap jalan cerita.

Tambah Matt, pemilihan setiap pelakon amat di titik beratkan supaya mesej yang ingin dibawa berjaya disampaikan kepada penonton apabila ia mula ditayangkan pada 8 September.

Walaupun ada lima pengarah dalam satu masa sama, setiap orang menyuntik rasa dan kreativiti berbeza

MATT LAI

PENGARAH

"Kita memang mahukan pelakon yang berwibawa bagi membawakan setiap watak. Boleh dilihat filem ini menampilkan pelakon utama pelbagai bangsa.

"Apa yang saya suka, mereka mampu membawakan watak yang diberikan dengan berkesan. Mungkin kerana itu, filem ini nampak 'hidup'.

"Tiada watak antagonis dalam Juang dan inilah yang menjadikan filem ini memiliki keistimewaan tersendiri," ujarnya.

juang 5

Zul dan Janna antara barisan utama pelakon Juang.

Sementara itu bagi Yusry, melakukan penggambaran ketika negara masih di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu cabaran besar baginya.

Menerusi jalan cerita yang diolah oleh Yusry, dia berani menampilkan satu sisi berbeza dalam watak lakonan Zizan Razak yang sebelum ini cukup terkenal sebagai pelakon komedi.

"Saya diberikan tanggungjawab mengarahkan bahagian berbeza, namun perubahan jadual berlaku dan akhirnya diberikan amanah menjayakan adegan yang menampilkan Zizan selaku teraju utama.

juang 3

Antara barisan pelakon bersama lima pengarah Juang.

"Lazimnya orang ramai melihat Zizan sebagai 'pak lawak', kali ini saya berhasrat untuk menampilkan sisi berbeza Zizan. Tugas dan tanggungjawab Zizan dalam karya ini juga bukan sesuatu yang mudah," ujarnya.

Selain Zizan, Juang membariskan pelakon lain seperti seperti Zul Ariffin, Janna Nick, Izzue Islam, Sangeeta Krishnasamy, Fahrin Ahmad, Chew Kin Wah, Angeline Tan, Steve Yap serta penampilan Allahyarham Adibah Noor.

Lagu tema filem ini berjudul Wira Hatiku dendangan Datuk Sheila Majid bersama iringan muzik daripada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) selain sebuah lagi lagu istimewa bertajuk Sama Sama nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain