suria

[V] Masih ada cinta dalam hati Hafidz Roshdi, harap dapat berdamai dengan Shuhada

PELAKON Hafidz Roshdi membuat pengakuan masih mencintai isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri meskipun rumah tangga mereka sedang dilanda pelbagai kontrovesi ketika ini.

Hafidz atau Mohammad Hafidz Roshdi, 29, berkata, dia masih berharap semua isu berkaitan perkahwinannya dengan Shuhada dapat diselesaikan dengan baik dan kembali berdamai.

"Masih (cintakan Shuhada). Harap berdamai dan habis dengan cara baik," katanya.

Hafidz bekongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Isnin.

Sebelum itu, pelakon berusia 29 tahun itu dikenakan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri dalam kejadian pada 2 Mac lalu.

WhatsApp Image 2023-03-13 at 12.38.13 PM (1)

Hafidz berharap isu rumah tangganya selesai dengan baik.

Majistret Siti Fatimah Talib memerintahkan Hafidz menjalani penilaian kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Pelakon itu turut dilarang menganggu Shuhada selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa miliknya kepada mahkamah selain dikenakan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut semula pada 9 Jun depan bagi proses serahan dokumen dan laporan kesihatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafidz Roshdi mengaku tak bersalah tumbuk isteri, muncul berpakaian jaket tarik perhatian

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah arahkan Hafidz Roshdi jalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia

Dalam pada itu, Hafidz turut meluahkan rasa rindu terhadap dua anaknya iaitu Humairah dan Umar apabila sudah dua minggu tidak bertemu dengan mereka.

"Kepada kedua-dua anak saya, Humairah dan Umar, abah rindu dan sayang kalian berdua dan tidak pernah sesaat pun abah melupakan kalian.

"Buat keluarga saya, terima kasih kerana menjadi tulang belakang Hafidz selama ini dan sentiasa bersama saya dalam apa juga keadaan. Terima kasih banyak-banyak," ujarnya.

Sementara itu, pelakon filem Pusaka itu berharap orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan fitnah terhadap keluarganya.

Shuhada Pukul

Shuhada terima 10 jahitan selepas mendakwa ditumbuk Hafidz.

"Kepada orang di luar sana, hentikan membuat spekulasi dan menyebarkan fitnah terhadap saya dan keluarga di media sosial.

"Anda sendiri tidak tahu kebenarannya. Mungkin dengan doa-doa anda yang baik-baik, semuanya akan bertambah baik buat saya dan keluarga," katanya.

Hafidz diwakli Datuk Akberdin Abdul Kadir yang juga peguam pelakon Puteri Sarah Liyana bagi kes penceraiannya dengan pengarah Syamsul Yusof.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Elyza Amira Habeeb Rahman.

Mengikut pertuduhan Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi didakwa menumbuk sebanyak tiga kali di bahagian kiri wajah mangsa selepas berlaku pertengkaran di antara mereka di susur keluar tol Sungai Buaya.

WhatsApp Image 2023-03-13 at 12.38.59 PM

Hafidz bersama peguam Datuk Akberdin Abdul Kadir.

Akibat kejadian itu, Shuhada terpaksa menerima 10 jahitan pada wajahnya dan menyebabkan parut kekal akibat kecederaan tersebut.

Pelakon filem Pusaka itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman jika didapati bersalah iaitu penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Pada 5 Mac lalu, Hafidz ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Hafidz melafazkan cerai terhadap Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.

Kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut pada 21 Mac ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain