suria

Awesome TV terpaksa saman lebih RM162 juta penerbit ‘Di Sebalik Dia’ kerana kurang 2 episod

Awesome TV beri kenyataan balas.

KEGAGALAN Datuk Ayu Puteh memenuhi syarat kontrak penerbitan drama bersiri Di Sebalik Dia sebanyak 28 episod menjadi punca pihak Awesome TV memfailkan tuntutan caj kelewatan penerimaan bahan siaran berjumlah RM162,192,000 kepada penerbit berkenaan.

Awesome TV dalam satu kenyataan media menjelaskan Ayu melalui syarikat produksinya iaitu Pencil Pictures Sdn Bhd hanya menyiapkan 26 daripada 28 episod yang dijanjikan seperti termaktub dalam kontrak bersama stesen televisyen tersebut.

"Dua lagi episod gagal disempurnakan pihak Datuk Ayu dan kesemua 26 episod yang disiapkan dihantar lewat kepada pihak Awesome TV dan tidak mengikut tarikh yang dipersetujui.

ayu1 - 1

Ayu didakwa tidak memenuhi syarat kontrak.

"Ketidakpatuhan kepada syarat-syarat kontrak ini telah menimbulkan pelbagai masalah kepada Awesome TV yang terpaksa membuat penjadualan semula program secara drastik.

"Kelewatan itu juga mengakibatkan pelbagai komplikasi dengan pihak pengiklan Awesome TV," kata kenyataan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Drama dah siar hutang tak bayar, Ayu Puteh tuntut stesen TV swasta jelaskan segera bayaran lebih RM700,000

ARTIKEL BERKAITAN: "Dia sempat buat saya kopi" - Bibik lesap masa tengah solat, Ayu Puteh rugi RM12,000 akibat terlalu percaya pembantu rumah

Menerusi temu bual bersama mStar pad 9 Mac lalu, Ayu mendakwa pihaknya masih belum menerima bayaran sebanyak RM704,000 daripada stesen tersebut selepas drama itu disiarkan sekitar September tahun lalu.

Dakwa Ayu, pihaknya telah menghantar invois bagi menuntut bayaran itu selepas lima bulan drama itu ditayangkan namun masih tiada respons daripada Awesome TV.

Sebaliknya, pihak produksi menerima notis penamatan kontrak serta tuntutan sebanyak RM162,192,000 dengan alasan lewat menyerahkan bahan pada Januari lalu.

Ayu menjelaskan drama berkenaan sepatutnya dihasilkan sebanyak 28 episod namun dipadatkan kandungan dan jalan ceritanya menjadi 26 episod bagi menjaga kualiti kandungannya.

ayu2 - 1

Ayu bakal berdepan dengan tindakan undang-undang.

Ia telah disiarkan sehingga tamat tanpa sebarang masalah dan tiada bantahan daripada stesen televisyen itu.

Dalam pada itu, kenyataan tersebut turut menjelaskan Awesome TV tidak mempunyai pilihan lain selain daripada mengambil tindakan undang-undang terhadap Pencil Pictures Sdn Bhd mengikut terma kontrak yang dipersetujui kedua belah pihak.

Pihak stesen televisyen itu juga turut menyerahkan perkara tersebut sepenuhnya kepada proses perundangan untuk tindakan selanjutnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain