suria

[V] Hafidz Roshdi mengaku tak bersalah tumbuk isteri, muncul berpakaian jaket tarik perhatian

PELAKON Hafidz Roshdi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada Isnin atas pertuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri dalam kejadian pada 2 Mac lalu.

Pengakuan itu dibuat pelakon berusia 29 tahun itu di hadapan Majistret, Siti Fatimah Talib selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi didakwa menumbuk sebanyak tiga kali di bahagian kiri wajah mangsa selepas berlaku pertengkaran di antara mereka di susur keluar tol Sungai Buaya.

Akibat kejadian itu, Shuhada terpaksa menerima 10 jahitan pada wajahnya dan menyebabkan parut kekal akibat kecederaan tersebut.

Shuhada Pukul

Shuhada menerima 10 jahitan pada bahagian pipi wajahnya.

Pelakon filem Pusaka itu didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman jika didapati bersalah iaitu penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.

Hafidz yang hadir ke mahkamah kira-kira pukul 8.30 pagi mengenakan kemeja hijau berserta jaket kelabu selain menutup wajahnya dengan pelitup muka dan memakai cermin mata ditemani peguam.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesal Nurul Shuhada mencanang fitnah terhadap keluarga, Hafidz Roshdi beri tempoh 48 jam isteri mohon maaf

ARTIKEL BERKAITAN: Shuhada tak tunduk permintaan Hafidz Roshdi, guna saluran undang-undang selesai pertikaian

Dia juga turut ditemani beberapa lelaki lain kelihatan tenang berjalan masuk ke perkarangan mahkamah.

Penampilannya itu menjadi perhatian netizen yang disifatkan sebagai tidak bersesuaian dan menyangka pelakon itu baharu pulang dari menghadiri majlis anugerah.

Pada 5 Mac lalu, Hafidz ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor sebelum dibebaskan dengan jaminan polis pada hari sama.

Hafidz Shuhada

Hafidz melafazkan cerai terhadap Shuhada menerusi panggilan telefon pada 22 Februari lalu.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Hafidz melafazkan cerai terhadap Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.

Kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut pada 21 Mac ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain