suria

Kesal Nurul Shuhada mencanang fitnah terhadap keluarga, Hafidz Roshdi beri tempoh 48 jam isteri mohon maaf

Hafidz beri tempoh 48 jam kepada Shuhada.

SELEPAS sekian lama mendiamkan diri daripada memberi sebarang kenyataan berhubung pergolakan rumah tangganya, pelakon Hafidz Roshdi tampil berkongsi surat terbuka kepada isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri pada Sabtu.

Hafidz, 29, berkata, dia terpanggil untuk menegur Shuhada selepas menyifatkan tindakan wanita itu pada 5 Mac lalu yang didakwa mengeluarkan kenyataan menuduh adiknya bersubahat selain memanggil keluarganya sebagai toksik sebagai melampaui batas.

Jelasnya, tuduhan itu jelas adalah fitnah terhadap keluarganya.

hafidz2 - 1

Hafidz mohon Shuhada untuk buat permohonan maaf secara terbuka.

"Penerbitan status Instagram awak bertarikh 5 Mac 2023 telah mengaitkan dan mengaibkan seluruh keluarga saya.

"Antara butirannya, status awak menyebut adik saya bersubahat dan keluarga saya bersifat toksik. Ia jelas dan nyata adalah satu fitnah," katanya.

Hafidz berkongsi surat terbuka itu menerusi hantaran di Instagram miliknya yang dimuat naik pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: "Nasib baik tak kena mata nanti buta" - Shuhada dah lama ditindas doakan kebahagiaan Hafidz Roshdi dan pasangan

ARTIKEL BERKAITAN: Shuhada terus buat pendedahan, dakwa adik ipar bersubahat dengan Hafidz Roshdi

Dalam pada itu, Hafidz mendakwa Shuhada menutup segala jalan pendamaian dan enggan menyelesaikan masalah rumah tangga mereka secara kekeluargaan.

Malah sejak isu perkahwinan mereka hebat diperkatakan, Hafidz berkata, dia memilih menjaga erat semua aib, kelemahan dan kekurangan Shuhada sebagai seorang isteri sepanjang mereka berkahwin.

"Kita tidak sempurna. Saya hadap segala caci dan maki atas kelemahan dan kesilapan diri saya sendiri. Sebagai insan yang lemah, kita berdua tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Agak malang, ianya menjadi di luar kawalan.

"Awak lebih cenderung untuk menyatakan isu rumah tangga kita di dalam media sosial. Kecenderungan bersifat membuka aib hingga membuka ruang fitnah.

“Apabila awak mula mencanang fitnah dan kenyataan palsu tentang keluarga saya, awak sudah melampau dah saya tidak boleh berdiam diri lagi," katanya.

Sehubungan itu, Hafidz memberi tempoh 48 jam kepada Shuhada supaya menarik balik kenyataan dibuat dan menggesa isterinya itu membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kata Hafidz, sekiranya permintaan itu tidak ditunaikan, dia akan mengambil tindakan undang-undang kerana telah melibatkan maruah dan privasi keluarganya terganggu.

hafidz1 - 1

Antara permohonan yang dibuat oleh Hafidz.

"Demi kesejahteraan dan keselamatan diri serta seluruh keluarga, saya dengan rasa rendah diri memohon dan memberikan tempoh 48 jam dari sekarang bagi Shu dan mana-mana pihak untuk menarik balik sebarang penerbitan umum dan gambar keluarga berkaitan dengan isu rumah tangga saya ini.

"Saya juga mahu agar permohonan maaf secara terbuka dibuat oleh pihak awak. Sekiranya tidak, saya mahu semua memahami situasi saya.

"Saya terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang telah menyentuh maruah dan privasi keluarga saya," ujarnya.

Menerusi hantaran sama, Hafidz turut memohon maaf kepada ibu bapa serta keluarga mentuanya kerana telah melibatkan mereka dalam urusan rumah tangganya.

Hafidz juga memberitahu dia tidak pernah lupa tanggungjawab terhadap dua anak mereka dan hanya ingin mencari rezeki yang halal buat mereka.

"Kepada Abah, Mak, kedua-dua mentua dan seluruh keluarga saya, saya ingin memohon jutaan kemaafan kerana secara langsung atau tidak sengaja telah melibatkan semua di dalam urusan rumah tangga saya.

"Saya masih lagi Abah kepada anak-anak saya. Kesejahteraan dan keselamatan mereka adalah keutamaan hidup saya. Saya juga ingin terus mencari nafkah yang halal untuk tidak mengabaikan tanggungjawab saya terhadap mereka," katanya.

Pada 5 Mac lalu, Shuhada memberi bayangan sikap suaminya turut mendapat sokongan daripada ahli keluarga mentuanya termasuk adik ipar yang didakwa bersubahat dalam kejadian menimpanya.

Sebelum itu, aktor berkenaan didakwa menumbuk tiga kali di bahagian kiri wajah Shuhada selepas berlaku pertengkaran di antara mereka di sebuah lokasi berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Sungai Buloh, Selangor sekitar pukul 6 pagi pada 2 Mac lalu.

hafidz3 - 1

Hafidz masih mempunyai tanggungjawab kepada anak-anak.

Ekoran kejadian itu, Hafidz bakal didakwa di Mahkamah Kuala Kubu Baharu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada Isnin ini.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 6, dan Umar, 2 tahun.

Hafidz melafazkan cerai terhadap Shuhada melalui panggilan telefon di hadapan keluarga masing-masing pada 22 Februari lalu sebelum wanita itu memfailkan proses pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam pada 28 Februari lalu.

Kes pengesahan lafaz cerai itu akan disebut pada 21 Mac ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain