suria

Kes dadah berakhir, Niezam Zaidi lebih tenang... Mengaku salah dan didenda RM4,000

Niezam Zaidi didenda RM4,000 selepas mengaku salah miliki dan memasukkan dadah dalam badan.

TIGA bulan turun naik mahkamah akibat terkait kes dadah, pelakon Niezam Zaidi akhirnya dihukum denda RM4,000 atau penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kangsar pada Isnin.

Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 30, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan pada prosiding di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon, pengarah dan kru jalani penggambaran di Kuala Kangsar dicekup positif dadah

ARTIKEL BERKAITAN: Produksi tak bertanggungjawab penahanan Niezam Zaidi... Terpaksa tukar dua pengarah untuk sambung penggambaran telefilem

Sejurus selepas itu, pelakon drama Bini-Biniku Perkasa tersebut turut meluahkan perasaannya yang disifatkan lebih tenang bersama foto terbaharunya di hadapan mahkamah.

"Alhamdulillah dan terima kasih kepada mereka yang mendoakan.

"Tenang is good," ujarnya ringkas menerusi Instagram selepas prosiding berakhir.

niezaqm

Niezam tenang selepas kes selesai.

Sementara itu rata-rata netizen mendoakan agar urusannya dipermudahkan dan bangkit dengan semangat baharu selepas episod hitam berkenaan berakhir.

"Semoga dipermudahkan urusan, sentiasa tenang brother.

"Semangat baharu 2022... chill, sabar semua akan baik-baik sahaja," ujar netizen.

Alhamdulillah dan terima kasih kepada mereka yang mendoakan

NIEZAM ZAIDI

PELAKON

Terdahulu, Mahkamah Majistret Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman denda RM4,000 kepada Niezam selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dadah pada Oktober tahun lalu.

Keputusan itu dijatuhkan selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan bagi kesalahan yang dilakukannya pada Oktober tahun lalu.

Selain itu Majistret Mohd Shazmeer Zamhari turut diperintahkan pelakon itu menjalani tempoh pengawasan selama dua tahun.

Niezam 2

Niezam ditahan bersama pengarah dan penolong pengarah di Kuala Kangsar.

Sebelum itu, Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hennie Suraya Hanafi yang mewakili tertuduh memohon agar hukuman diringankan.

Ia mengambil kira faktor antaranya pendapatan purata tertuduh kira-kira RM2,500 sebulan terjejas kerana tidak menerima tawaran berlakon disebabkan kes ini.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi, memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh dengan alasan kes ini membabitkan kepentingan awam yang lebih tinggi iaitu bagi memberi pengajaran kepada masyarakat yang mengikuti perkembangan kes.

Berdasarkan pertuduhan pindaan yang dibacakan, Muhamad Niezam didakwa memiliki 0.6 gram dadah jenis kanabis di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri di sini, kira-kira jam 7.10 pagi 10 Oktober 2021 iaitu kesalahan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Dia turut dituduh mengikut Seksyen 15 (1) ADB kerana memasukkan dadah ke dalam diri sendiri iaitu dadah berbahaya jenis THC di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar kira-kira jam 9.50 pagi pada tarikh sama.

Bagi kesalahan memiliki dadah, mahkamah menetapkan hukuman denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda manakala untuk kesalahan penyalahgunaan dadah, mahkamah menetapkan denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda, selain menetapkan tempoh pengawasan terhadap Niezam.

Niezam enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu dirinya terlibat dengan dadah.

Peguam mewakili Niezam memohon hukuman diringankan kerana pendapatan merosot akibat kes dadah.

Sementara itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,800 kepada pengarah filem, Mohd Latiff Zami, 50, dan RM4,000 kepada penolongnya, Saiful Zaidrin Ismail, 47, selepas mereka turut mengaku bersalah masing-masing atas dua tuduhan iaitu memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah memerintahkan Mohd Latiff yang didakwa mengikut Seksyen 6 ADB 1952 kerana memiliki 0.2 gram kanabis didenda RM1,800 atau penjara empat bulan jika gagal membayar denda bagi kesalahan itu, selain denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta tiga tahun tempoh pengawasan bagi kesalahan memasukkan dadah THC ke badan.

Bagi Saiful Zaidrin, Mohd Shazmeer menetapkan denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika denda gagal dibayar bagi kesalahan memiliki 0.03 gram dadah methamphetamine iaitu mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952, selain denda RM2,000 atau penjara lima bulan jika gagal membayar denda serta dua tahun tempoh pengawasan bagi kesalahan memasukkan dadah methamphetamin...

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain