suria

Tuntutan lebih RM2.5 juta, kes saman fitnah Siti Nordiana terhadap 5 sekawan dipindah ke Mahkamah Tinggi

Kes sama Siti Nordiana akan dibawa ke Mahkamah Tinggi

PERBICARAAN kes saman fitnah melibatkan penyanyi Siti Nordiana dengan lima individu lain kini bakal didengar hakim Mahkamah Tinggi.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili dua defendan, Sam Samin dan Aida G memberitahu jumlah kes saman secara keseluruhan sebanyak RM2.5 juta adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima hari berdiam diri... akhirnya Lan Solo, Syura minta nasihat peguam selesaikan isu dengan Siti Nordiana

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nordiana tak sindir sesiapa, ‘Amaran’ hanya hiburan - “Memang menjadi promosi lagu ini”

"Sejak awal lagi kami sudah sedia kes ini akan dibawa ke Mahkamah Tinggi kerana melihat kepada jumlah saman secara keseluruhan.

"Buat masa sekarang kami belum mendapatkan tarikh bagi perbicaraan selanjutnya di Mahkamah Tinggi," jelas Hafidzah kepada mStar.

Nurul Hafidzah Hassan (kanan) bersama pasukan yang mewakili Sam Samin dan Aida G.

Nurul Hafidzah Hassan (kanan) bersama pasukan yang mewakili Sam Samin dan Aida G

Menurut Hafidzah lagi, dia dan dua anak guamnya sudah bersedia seperti mana perbicaraan yang dijalankan sebelum ini.

"Ada beberapa permohonan yang tidak didengari di Mahkamah Sesyen sebelum ini, jadi kami harap ia akan dapat dilaksanakan di Mahkamah Tinggi nanti.

"Daripada sudut undang-undang saya melihat kami mempunyai peluang baik dan sudah bersedia untuk kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi," katanya.

Isu membabitkan penyanyi Siti Nordiana bersama lima sekawan termasuk Lan Solo dan Syura Badron bermula apabila selebriti tersebut memfailkan saman berjumlah RM2.5 juta pada 3 Ogos lalu.

Daripada sudut undang-undang saya melihat kami mempunyai peluang baik dan sudah bersedia untuk kes ini dibawa ke Mahkamah Tinggi

NURUL HAFIDZAH HASSAN

PEGUAM

Siti Nordiana memfailkan saman itu menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates pada 30 Julai lalu di Mahkamah Sesyen Sivil Kuala Lumpur, dengan menamakan Lan Solo, 36, isterinya Nur Sheila dan Syura, 35, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dua lagi defendan iaitu keempat dan kelima ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar, 43, dan jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad, 42.

Siti Nordiana akan ambil tindakan saman terhadap Lan dan Syura serta tiga individu lain.

Siti Nordiana menfailkan saman terhadap lima individu kerana menfitnahnya di media sosial

Dalam saman tersebut, Siti Nordiana telah menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan.

Selain itu, terdapat juga tiga lagi tuntutan iaitu ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan ganti rugi khas yang akan dinilai serta ditentukan oleh pihak mahkamah.

Untuk rekod, kontroversi tercetus selepas penyanyi Lan Solo dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku antara mereka dengan Siti Nordiana menerusi sesi Instagram live pada 20 Julai lalu. kes saman fitnah melibatkan penyanyi Siti Nordiana dengan lima individu lain kini bakal didengar hakim Mahkamah Tinggi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Siti Nordiana, Syura, Lan Solo, Saman, Mahkamah

Artikel Lain