suria

Poster dah hilang, maaf dah buat... jadi ke Caprice buat pendedahan Rabu ini?

Ramai pihak ingin tahu sama ada Caprice akan membuat apa-apa pendedahan pada Rabu ini atau tidak.

KERESAHAN yang dicetuskan Caprice tentang halangan untuk dia meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin mungkin sedikit berkurangan selepas penyanyi rap itu tampil memohon maaf.

Namun kini timbul pula tanda tanya tentang status gelombang yang dicipta Caprice atau Ariz Ramli, 33, sebelum ini iaitu untuk membuat pendedahan berkaitan isu di negara bergolak itu.

Seperti yang digembar-gemburkan sejak minggu lalu, Caprice dijadualkan membuat pendedahan penting yang menurutnya bakal menggemparkan rakyat Malaysia kira-kira pukul 10 malam, Rabu ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Caprice minta maaf, mahu kembali ke Malaysia - “Silap saya terlalu emosi tentang perjuangan”

Bagaimanapun hasil semakan mStar di Instagram Caprice, poster promosi dengan tajuk 'Apa sebenarnya berlaku di Gaza?' sudah dipadam selepas permohonan maaf dibuat.

caprice ig

Antara status yang pernah ditulis Caprice di Instastory.

Bukan itu sahaja, Caprice turut memuat naik 'blank space' berwana hitam di Instastory.

Usaha mStar untuk mendapatkan maklumat terperinci tentang perancangan itu juga masih belum berhasil apabila mesej yang dihantar ke Instagram Caprice hanya berstatus 'seen' tanpa sebarang balasan.

Caprice berangkat ke Palestin untuk menyertai misi bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza pada 24 Jun.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Pada pagi Isnin Caprice tampil memohon maaf kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim; Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien dan pendakwah bebas, Ebit Lew secara terbuka di Instagram.

Ujar Caprice dia mengakui kesilapan akibat bertindak mengikut emosi kerana perjuangannya demi ummah, Palestin dan rakyat Malaysia.

ebit-cap

Perkongsian yang mencetuskan kemarahan ramai.

Pada Jumaat lalu Caprice mencetuskan kontroversi hingga mengundang kemarahan ramai apabila dia mendedahkan mesej tegurannya kepada Ebit berhubung misi bantuan pendakwah itu di Gaza.

Dakwa Caprice, misi yang disertai Ebit menjadi salah satu punca yang menyebabkan dia berkemungkinan besar tidak dibenarkan memasuki Gaza.

Salah satu isu yang dibangkitkan ialah apabila pasukan Ebit menggunakan kanak-kanak miskin di sana sebagai bahan kandungan media sosial.

Sementara itu, pembantu peribadi (PA) Ebit Lew, Arief Farhan tampil mempersoalkan motif di sebalik tindakan Caprice yang menurutnya cuba mencemarkan nama baik pendakwah bebas itu.

Arief mempersoalkan mengapa Caprice perlu membangkitkan perkara remeh seperti alat permainan yang diagihkan kepada kanak-kanak, berbanding bantuan bernilai jutaan ringgit kepada penduduk Gaza.

Pihak mStar juga cuba mendapatkan reaksi terkini berhubung permohonan maaf Caprice, namun usaha itu tidak berhasil apabila Arief dipercayai sudah menyahaktifkan akaun Instagram.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain