KOMITED menjayakan watak diberi, pelakon Trisha Ooi sanggup mengubah penampilan agar penonton dapat mendalami karakter serta jalan cerita yang ingin disampaikan. Tampil memegang peranan sebagai Diana dalam drama One Cent Thief musim kedua (OCT2), Trisha atau Reyshqa Aqiera Mohd Nasron Ooi, 26, memberiathu dia menyahut cabaran produksi untuk menindik pada bahagian kening meskipun ia bukan sesuatu yang biasa dilakukan. "Saya memang mahukan karakter begini. Ini mencabar saya sebagai seorang pelakon dari segi babak aksi serta penampilan untuk watak. Trisha sedia sahut cabaran dalam pelbagai watak. "Saya kena tindik pada bahagian kening kerana itu diminta oleh produksi. Malah dalam cerita ini juga saya perlu memandu van dengan gear manual. Biarpun saya tahu memandu, tetapi bukan mudah nak pandu sebuah van yang agak uzur. "Demi watak dan tuntutan kerja saya sanggup lakukan apa sahaja," katanya kepada mStar. Trisha ditemui ketika majlis tayangan episod pertama drama berkenaan yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Rabu. ARTIKEL BERKAITAN: Trisha Ooi terperangkap di Genting Highlands akibat tanah runtuh ARTIKEL BERKAITAN: Nampak lebih cantik, Trisha Ooi jawab tuduhan ‘buat muka’... “Saya wanita lasak jarang pakai mekap” Tambah pelakon ini lagi, meskipun sedia berdepan dengan pelbagai cabaran namun dia tetap meletakkan batas supaya tidak keterlaluan. Malah Trisha juga sentiasa terbuka menerima sebarang tegur peminat untuk memperbaiki perjalanan kerjaya seninya. "Sebagai manusia pun kita ada batas sendiri. Dalam kerjaya juga saya meletakkan limitasi sebagai pelakon. Sebagai contoh apa sahaja yang saya pakai adalah untuk karakter dan itu adalah pilihan sendiri. Demi watak dan tuntutan kerja saya sanggup lakukan apa sahaja TRISHA OOI PELAKON "Mungkin ada yang menegur saya terlalu seksi atau sebagainya. Namun saya yakin setiap teguran itu adalah tanda mereka sayangkan saya. Saya terima secara terbuka dengan sebarang teguran," ujarnya. Bercakap mengenai penglibatan dalam OCT2, Trisha meluahkan rasa teruja apabila diberi kepercayaan untuk memegang salah satu watak dalam drama yang pernah menjadi sebutan ramai sebelum ini. Biarpun babak aksi bukanlah satu perkara asing baginya, namun OCT2 benar-benar menyerlah satu sisi berbeza dalam diri Trisha. Teguran peminat bantu Trisha perbaiki diri. "Biarpun sebelum ini pernah melakukan babak aski, namun watak dalam drama ini adalah impian saya. Bukan hanya jalan cerita, tetapi penampilan juga benar-benar mencabar saya untuk menghidupkan watak. "Memang memberi satu tekanan dan syukur saya telah berjaya menghabiskan watak ini. Semoga ia dapat diterima baik penonton," luahnya. Selain Trisha drama arahan ini turut menampilkan pelakon lain seperti Syafiq Kyle, Azira Shafinaz, Datin Sofea Jane, Fabian Loo dan Faizal Hussein. Drama arahan Ariff Zulkarnain dan Alfie Palermo ini bakal memulakan tayang pada 31 Januari di saluran Astro Ria, Citra serta aplikasi Sooka. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!