suria

Ungu suka buat persembahan di Malaysia, sambutan peminat luar biasa... Bakal adakan konsert tahun depan

Ungu bakal menghiburkan peminat di Kuala Lumpur Februari depan.

VOKALIS Ungu iaitu Pasha mengakui sambutan hangat yang diterima peminat di Kuala Lumpur membuatkan kumpulan itu tidak pernah jemu untuk melakukan konsert di Malaysia.

Pasha atau nama sebenarnya Sigit Purnomo Syamsuddin Said, 44, berkata, hampir setiap persembahan yang dilakukan di negara ini pasti menerima sokongan kuat daripada peminat setia mereka.

"Alhamdulillah sepanjang Ungu melakukan konsert di Kuala Lumpur, boleh dikatakan hampir tidak pernah gagal daripada mendapat sambutan peminat.

ungu1 - 1

Ungu menerima sambutan hangat peminat di Malaysia.

"Kenapa? Bukan kerana kumpulan Ungu itu hebat atau luar biasa, tetapi masyarakat Malaysia yang selalu menyambut Ungu dengan hangat sekali sehingga setiap persembahan kami di sini dapat berjalan dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Pasha memberitahu mereka sudah menganggap Malaysia sebagai rumah kedua dan teruja untuk menjayakan konsert Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur — 30 Hits Timeless pada Februari tahun depan.

Kata Pasha, mereka bakal menyanyikan lagu-lagu hits dari Malaysia dan Indonesia untuk peminat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ungu hampir berpecah gara-gara ego Pasha, bergaduh besar ketika buat keputusan masuk politik

ARTIKEL BERKAITAN: Anak ikut jejak langkah jadi artis, Pasha (Ungu) pesan jangan berkawan dengan penagih dadah

"Sangat senang untuk kembali konsert di Malaysia yang sudah ibarat seperti rumah kedua kami.

"Hasil perbincangan dengan penganjur Ungu akhirnya mencapai kata sepakat Ungu Live In Kuala Lumpur akan menyaksikan kami dengan 30 karya paling unggul yang pernah diciptakan Ungu akan dipersembahkan kepada peminat, Insya Allah," ujarnya.

Mayapada Ungu Live In Kuala Lumpur — 30 Hits Timeless bakal berlangsung pada 25 Februari tahun depan di Mega Star Arena, Bukit Bintang Kuala Lumpur.

Apa yang menariknya, penonton disarankan memakai salah satu aksesori, pakaian atau kasut berwarna ungu bertepatan dengan tema konsert tersebut.

Ia akan menambahkan keserian suasana malam itu kelak dengan limpahan warna Ungu di lokasi konsert.

Tiket sudah pun mula dijual dengan harga bermula RM138 sehingga RM338 di laman web ticket2u.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain