suria

Anwar Ibrahim ucap takziah pemergian Mael XPDC, sifatkan kehilangan besar muzik rock tempatan

Anwar mengucapkan takziah buat keluarga Mael.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pemergian vokalis kumpulan XPDC iaitu Mael meninggalkan impak besar dalam industri muzik rock tempatan.

Anwar menerusi ciapan di Twitter turut mengucapkan takziah buat keluarga Mael atau Syed Ismail Syed Ibrahim, 55, dan mendoakan agar Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Saya utus takziah kepada keluarga Allahyarham saudara Syed Ismail Syed Ibrahim atau lebih dikenali dengan panggilan Mael yang baru menyahut panggilan Ilahi.

ee

Pemergian Mael turut dirasai oleh seluruh penggiat seni.

"Sebagai antara nama besar dalam lapangan seni tanah air, pastinya khabar duka ini meninggalkan dampak yang mendalam pada industri muzik rock tempatan.

"Saya turut berduka dan mendoakan ruh Allahyarham ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Vokalis XPDC Mael meninggal dunia akibat sesak nafas

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi veteran Julie Sudiro meninggal dunia

Pada Khamis, Mael menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Fatimah, Muar, Johor sekitar pukul 9.30 malam.

Berita pemergian Allahyarham disahkan sendiri oleh anak perempuannya iaitu Sharifah Irfastasha.

Menurut pihak pengurusan XPDC, Mael dikejarkan ke hospital akibat sesak nafas pada lewat petang Khamis sebelum disahkan meninggal dunia.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri Batu 6, Muar pada pagi Jumaat.

Untuk rekod, Mael adalah salah seorang pengasas kumpulan XPDC pada 1985 yang menggunakan nama Tragedy bersama Izo yang bertindak sebagai gitaris.

Bagaimanapun pada 1997, Mael membuat keputusan mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.

Album terakhir Mael bersama XPDC berjudul Brutal yang dilancarkan pada tahun sama terjual melebihi 350,000 dan ia album paling laris kumpulan itu sehingga kini

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain