suria

Rupanya butik milik Fitri Haris turut terbakar di Wisma Jakel, mohon doa buat semua peniaga terkesan

Butik milik penyanyi Fitri Haris turut terkesan.

KEDATANGAN tahun 2023 tidak bermula baik buat penyanyi nasyid Dr Fitri Haris apabila butik miliknya iaitu Al Mukarramah musnah dijilat api ekoran kebakaran Wisma Jakel di Shah Alam pada pagi Ahad.

Fitri atau Mohamad Fitri Mohamad Haris, 38, berkata, disebabkan kebakaran yang berlaku di kedai tekstil berkenaan, keseluruhan wisma tersebut turut terkesan sehingga api merebak ke bahagian butiknya.

Reda dengan apa yang berlaku, Fitri turut memohon agar orang ramai mendoakan kesejahteraan bagi peniaga dan pemilik butik yang terkesa akibat kebakaran berkenaan.

"Pohon doa kesejahteraan Jakel, kebakaran keseluruhan wisma yang juga membuatkan api merebak ke butik saya Al Mukarramah di Shah Alam," katanya.

fitri1 - 1

Keadaan butik Fitri yang terletak di Shah Alam.

Fitri berkongsi tentang perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Fitri memberitahu segala promosi dan acara yang akan dianjurkan oleh butiknya terpaksa ditangguhkan.

Fitri sempat memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan berdoa untuk diberikan kesabaran atas musibah yang diberi.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Jakel Shah Alam terbakar, orang ramai rakam video api marak

ARTIKEL BERKAITAN: Fitri Haris tak fikir panjang beli beg lelong RM15,000 milik Pak Nil, anggap sumbangan kecil bantu Zamani

"Segala urusan promosi ditangguhkan dan akan dikemaskini kemudian, pohon doa dari semua. Mohon doa kesabaran buat sahabat perjuangan En. Ezani dan seluruh warga Jakel.

"Saya juga ingin memaklumkan acara harini ini dibatalkan. Mohon maaf atas segala kesulitan. Hanya padaNya kami berserah," ujarnya.

fitri2 - 1

Fitri terpaksa membatalkan segala acara promosi untuk butiknya.

Bagaimanapun, ketika dihubungi mStar, Fitri memberitahu hampir keseluruhan butiknya musnah dalam kebakaran tersebut. Namun, atas nasihat daripada beberapa pihak, dia tidak boleh berkongsi jumlah kerugian yang dialami.

"Maaf, saya tidak dapat berkongsi jumlah kerugian kerana bimbang mengganggu urusan insurans. Tapi, apa yang saya boleh katakan hampir keseluruhan butik saya terbakar dan tidak dapat diselamatkan," katanya.

Fitri turut berkongsi, dia dan pekerja kini sedang sibuk menyemak semula data untuk melihat kembali pesanan yang telah dibuat oleh pelanggan.

Dalam masa terdekat ini, Fitri masih tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memikirkan tentang perniagaannya itu kerana memerlukan masa bagi menguruskan butiknya yang telah terbakar itu.

"Buat masa ini, saya tiada lagi perancangan untuk memikirkan langkah seterusnya bagi perniagaan ini kerana masih banyak perkara yang perlu saya selesaikan.

"Kini, kami sedang berusaha untuk mendapatkan data pelanggan yang telah membuat tempahan. Doakan urusan kami dipermudahkan," ujarnya.

Terdahulu, Wisma Jakel yang terletak di Seksyen 7, Shah Alam dilaporkan mengalami kebakaran dan memusnahkan bahagian dalam bangunan lot kedai tiga tingkat berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis, berkata, pihaknya terdahulu menerima panggilan kecemasan mengenai insiden berkenaan pada pukul 7.08 pagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain