suria

Masuk hari ke 25 siasatan... polis serah semula kertas siasatan kes majlis nikah Neelofa langgar SOP kepada TPR

Mohamad Zainal memberitahu polis masih menunggu tindakan selanjutnya daripada pihak TPR.

MASUK hari ke 25, kertas siasatan terhadap majlis pernikahan selebriti Neelofa dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz berhubung dakwaan majlis pernikahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) masih belum selesai.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, pihaknya sudah menghantar semula kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) pada Isnin dan menunggu arahan untuk tindakan lanjut.

ARTIKEL BERKAITAN: Belum ada keputusan... pendakwa raya kembalikan kertas siasatan kes majlis nikah Neelofa langgar SOP

"Kita hantar semula kertas siasatan semalam selepas membuat beberapa penambahan mengikut arahan pihak berkenaan sebelum ini. Perkembangan lanjut kes itu akan dimaklumkan kemudian," katanya.

Pada Sabtu lalu, Mohamad Zainal Abdullah memberitahu pihak Timbalan Pendakwa Raya telah mengembalikan kertas siasatan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.



Foto di majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz yang menjadi tular.

Menerusi laporan mStar pada 13 April lalu, polis mencadangkan kompaun dikeluarkan kepada pasangan itu kerana gagal mengikut SOP yang ditetapkan ketika acara itu berlangsung.

Polis membuka kertas siasatan pada 27 Mac lalu selepas timbul kekecohan bahawa majlis pernikahan mereka yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP dan tiada penjarakan fizikal.

Sebelum ini, pihak keluarga pasangan berkenaan telah hadir di IPD Dang Wangi untuk membantu siasatan pihak berkuasa.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Neelofa dan Riz diijabkabul pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain