suria

Penyanyi 'Ala Ala Tok Jangan Saman' Poe meninggal dunia - “Arwah beritahu dia rasa lain... katanya macam dah nak habis dah!”

Poe meninggal dunia akibat komplikasi penyakit yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

PENYANYI yang popular dengan lagu Ala Ala Tok Jangan Saman, Poe menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 12.30 tengah hari, Jumaat.

Menurut isterinya Nor Aisyah Zakaria, Poe atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Ahmad, 64, meninggal dunia akibat komplikasi penyakit jantung, buah pinggang dan hati yang dihidapi sejak beberapa tahun lalu.

"Sebenarnya minggu lepas dia sudah dimasukkan ke Hospital Selayang dan kelmarin doktor baru benarkan balik rumah tapi semalam keadaan kesihatan dia agak merosot, kaki membengkak... jadi anak menghubungi ambulans untuk bawa ke hospital.

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi Rege, Poe Anggap Industri Muzik Sudah Mati

"Memandangkan rumah kami berdekatan dengan HKL, jadi dia terus dihantar ke sana... keadaan kesihatan arwah nampak semakin teruk.

"Arwah sempat beritahu dia rasa lain... katanya macam dah nak habis dah! Mungkin sebab dia sakit, jadi kita pun tak fikir sangat. Tapi memang betul, dia pergi selamanya," katanya kepada mStar.

Poe bersama isteri Nor Aisyah.

Sementara itu, Nor Aisyah memberitahu Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu, Gombak dalam masa terdekat.

"Jenazah baru sahaja selesai ujian saringan Covid-19, semua urusan akan diselesaikan di hospital sahaja dan akan dikebumikan secepat mungkin," ujarnya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan lima anak.

Pada 2016, bekas anggota kumpulan Rampa ini pernah dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur akibat serangan angin ahmar.

Kumpulan Rampa yang ditubuhkan pada 1984 merakamkan tiga album, Dunia Materialistik (1984), Apa Macam? (1985) dan Antara Kita Dengan Iblis Dan Syaitan (1986). Antara lagu popular kumpulan duo ini adalah Joyah, Jelaskan, Jemputan Kahwin, Hentam Saja dan Pilihlah Daku.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Poe, Rampa, meninggal dunia

Artikel Lain