suria

Hafiz Hamidun dedah terima banyak mesej minta bantuan sejak PKP, kumpul dana salur bantuan - “Saya tak mampu buat sendiri”

Hafiz terima banyak DM di Instagram yang ingin meminta bantuan bagi meneruskan hidup.

SEMENJAK Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, penyanyi Hafiz Hamidun mendedahkan hampir setiap hari menerima mesej peribadi yang meminta bantuan di Instagram.

Menurut Hafiz atau nama sebenarnya Mohammad Hafiz Hamidun, 36, dia hanya mampu membantu mengikut kemampuannya dan berharap orang ramai turut serta memberi sumbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Hamidun keluar duit simpanan RM200,000 rakam album Marhaba

Kata penyanyi lagu Belum Termiliki ini, mana-mana pihak yang sudi menyumbang berbentuk wang secara ikhlas boleh dilakukan menerusi akaun peribadinya.



Hafiz berkongsi perkara itu di laman sosialnya.

"Sejak PKP bermula, hampir setiap hari ramai yang DM saya minta tolong, bantu untuk meneruskan kehidupan. Mana yang boleh saya bantu, saya bantu. Tapi saya tak mampu buat sendiri.

"Saya pun tak nak bersangka macam-macam, sekadar bantu mana yang mampu. Kalau anda semua nak tolong sama, seringgit dua seikhlasnya, anda boleh beri sumbangan menerusi akaun saya.

"Jadi, saya boleh berikan sumbangan yang terkumpul itu kepada yang memerlukannya," kata Hafiz.

Saya pun tak nak bersangka macam-macam, sekadar bantu mana yang mampu.

HAFIZ HAMIDUN

PENYANYI

Bekas suami kepada usahawan kosmetik Joy Revfa itu memuat naik perkongsian tersebut menerusi laman Instastory miliknya.

Berikutan krisis penularan wabak Covid-19 dan pelaksanaan PKP, banyak sektor ekonomi yang terjejas menyebabkan ramai rakyat terpaksa memohon bantuan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, Hafiz mengajak orang ramai untuk menghulurkan bantuan tanpa mempunyai perasaan prejudis terhadap usaha murninya tersebut.

"Insya-Allah. mari tolong golongan yang memerlukan. Tak perlu ada prasangka. Kalau tak mahu bantu, hanya abaikan sahaja ya. Ampun maaf daripada saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Hafiz Hamidun, PKP, Covid-19,

Artikel Lain