suria

Finalis Hero Remaja, Aniq Suhair yakin tak pernah buat perkara tak senonoh - “Sebelum masuk dunia hiburan, kena bersedia dari segi mental dan fizikal”

Aniq sudah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk menceburi bidang seni.

RAMAI dalam kalangan selebriti lelaki seperti bekas peserta Hero Remaja Alif Muhaimin yang terpalit dengan kontroversi melibatkan video, foto atau mesej lucah.

Biarpun sudah mengetahui asam garam dunia hiburan namun salah seorang finalis program realiti Hero Remaja 2020 iaitu Aniq Suhair tetap mahu mengorak langkah dalam industri seni.

Aniq yang kini berusia 20 tahun ini memberitahu dia yakin dirinya tidak pernah melakukan perkara yang tidak senonoh, malah sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi segala cabaran.

"Dalam program tersebut memang kami semua dilatih untuk bersedia memasuki industri hiburan. Sebelum masuk dunia hiburan, kena bersedia dari segi mental dan fizikal.

"Nak diikutkan dalam program itu sendiri pun ada 'drama' yang berlaku dan ia membuatkan saya belajar mengenai cara untuk menghadapi cabaran atau kontroversi selepas ini.



Aniq bersama rakan-rakannya dalam program Hero Remaja 2020.

"Jadi, saya memang sudah persiapkan diri dari segi mental dan fizikal. Insya-Allah, saya yakin yang saya tidak pernah melakukan perkara terkutuk atau mempunyai foto dan video tidak senonoh," katanya kepada mStar.

Aniq ditemui ketika sesi rakaman segmen mstar iaitu 'KENOT BRAIN' di Menara Star, Petaling Jaya baru-baru ini.

Episod kemuncak penentuan siapa akan berjaya mendapat gelaran sebagai Hero Remaja 2020 terpaksa ditunda sehingga Julai depan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, Aniq buat masa kini dia tidak memikirkan soal cinta memandangkan ingin mencipta nama dalam industri seni terlebih dahulu.



Aniq mahu fokus bina nama dalam industri hiburan.

Namun, dia akan merahsiakan hubungan cinta jika teman wanitanya bukan dalam kalangan selebriti kerana bimbang kekasihnya tidak selesa.

"Untuk hubungan cinta ini, saya rasa tunggu dahulu kut sebab saya nak fokus untuk bina karier saya dalam dunia seni. Tapi sekiranya saya ada kekasih selepas ini, mungkin saya akan cuba elakkan berkongsi kepada umum.

"Saya tak berapa suka nak terlalu terbuka berkongsi kisah cinta pada umum tambahan pula jika teman wanita saya itu bukan dalam kalangan orang seni. Risau kalau dia tidak selesa nanti.

"Tapi kalau la future girlfriend saya artis, mungkin ada baiknya saya kongsikan kepada umum. Kecuali kalau orang tak tahu, saya diamkan saja," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain