Muat naik foto tak berhijab, Ernie Zakri terima komen negatif - “Dah jelaskan tapi ada yang cuba untuk tidak memahami”

Ernie tidak mahu mengambil hati dengan komen negatif netizen.

MESKIPUN pernah memberi penjelasan mengenai foto penampilannya yang menampakkan rambut itu dirakam sebelum mengambil keputusan untuk berhijab, namun masih ada segelintir netizen yang tidak memahami perkara itu.

Bagaimanapun, penyanyi Ernie Zakri menganggap kecaman atau kritikan netizen berhubung perkara itu sebagai cabarannya dalam bulan Ramadan dan dia enggan mengambil hati dengan komen negatif tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Hikmah ‘stay at home’ Ernie Zakri kini berhijab - “Doakan saya istiqamah!”

“Memang saya sudah beri penjelasan mengenai perkara itu tapi biasalah manusia ini ada dua jenis. Ada yang memahami dan ada yang cuba tidak memahami tapi bagi saya, saya anggap ini cabaran untuk saya dalam bulan Ramadan.



Ernie tidak ambil hati dengan komen negatif netizen.

“Bila kita nak buat sesuatu yang baik, mesti ada cabarannya. Saya tak berapa kisah dan tak ambil hati tentang perkara itu. Sesiapa yang tak faham, saya akan tetap beri penjelasan secara baik.

“Tapi kalau saya lihat komen itu terlalu ke arah negatif, tak wajar untuk saya jelaskan. Lagipun, setiap foto saya tanpa tudung, saya akan jelaskan ia merupakan rakaman lama, ” kata Ernie kepada mStar.

Ernie atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 28, diminta mengulas mengenai komen netizen yang mempertikaikan tindakannya memuat naik foto tanpa bertudung.

Sangat manis bila dikenang sebab gembira dapat luangkan masa dengan keluarga.

ERNIE ZAKRI

PENYANYI

Menerusi laporan mStar pada 24 Mac lalu, penyanyi lagu Ku Bersuara ini memberitahu dia berharap peminat tidak salah faham apabila menonton apa-apa program selepas ini yang memperlihatkan dirinya tanpa hijab.

Sebelum ini, Ernie mengakui dia sudah lama menyimpan hasrat untuk bertudung dan akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah.

Dalam pada itu, Ernie meluahkan rasa syukur apabila banyak perubahan yang berlaku dalam kehidupannya biarpun terpaksa melalui bulan Ramadan dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).



Ernie seronok dapat luangkan masa bersama keluarga.

“Ramadan kali ini sangat seronok dan gembira. Sudah tentu ada kelainan dalam musim PKP ini sebab kena duduk rumah, tak dapat pergi beli juadah berbuka dan tak dapat pergi terawih di masjid.

“Tapi tak dapat semua itu tidak bererti yang Ramadan tak jadi seronok. Sebab sebelum ini, kalau saya tak bekerja pada bulan Ramadan, lebih banyak berada di rumah dan jarang keluar beli juadah.

“Cuma kali ini, kelebihan PKP dapat terawih bersama keluarga. Sangat manis bila dikenang sebab gembira dapat luangkan masa dengan keluarga. Banyak perubahan yang positif sepanjang PKP dan Ramadan kali ini, ” ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain