“Pelik juga tengok watak anak dengan ibu hampir sebaya” - Netizen sokong Finas larang pelakon muda disolek jadi tua

Hans Isaac maklumkan stesen penyiaran bersepakat tidak membenarkan pelakon muda disolek menjadi tua.

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac memaklumkan semua stesen penyiaran bersepakat untuk tidak lagi membenarkan pelakon muda disolek memegang watak orang tua dalam drama atau telefilem terbitan mereka.

Menurut laporan Berita Harian, Hans berkata syarat baharu yang dikenakan itu bertujuan untuk menjaga hak dan kebajikan artis veteran.

"Finas bertemu dengan semua stesen penyiaran, baru-baru ini dan mereka sepakat tidak mahu pelakon muda disolek untuk memegang watak orang tua.

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac enggan berlakon, terbit filem demi elak konflik kepentingan

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac sah Pengerusi Finas, mahu fokus kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni

"Mereka menjelaskan apabila kaedah itu digunakan, watak terbabit tampak agak pelik dan tidak semula jadi. Selepas perbincangan, semua stesen penyiaran memutuskan untuk mengenakan syarat melarang pelakon muda disolek menjadi orang tua.

Hans akan terus menjaga kebajikan artis veteran.

"Ini bagi memastikan produser tidak menggunakan pelakon muda memegang watak orang tua. Kami gembira apabila stesen penyiaran bersependapat dengan kami,” katanya pada Rabu.

Bagi memastikan artis veteran mempunyai jaminan tawaran kerja, Hans berkata satu ketetapan tempoh kerja atau jumlah jam tertentu dalam produksi diperuntukkan untuk mereka.

Stesen penyiaran akan menggariskan berapa banyak projek yang menggunakan artis veteran pada 2020.

HANS ISAAC

Pengerusi Finas

"Ini termasuk dalam kempen menggalakkan artis veteran kembali bekerja yang dirancang Finas. Stesen penyiaran akan menggariskan berapa banyak projek yang menggunakan artis veteran pada 2020 atau purata pembabitan artis veteran dalam produksi.

"Penyiar akan memberi maklumat kepada Finas sebelum akhir tahun ini. Kita harap program ini dapat dilaksanakan Januari depan,” katanya.

Sementara itu, menerusi ruangan komen di Facebook portal berita tersebut, rata-rata penonton bersetuju dengan keputusan Finas dan stesen penyiaran itu.

Mereka berpendapat adalah wajar pelakon veteran diberikan peluang melakonkan watak mengikut usia mereka agar sesebuah karya itu kelihatan lebih realistik dan bersesuaian.

"Setuju sangat, kadang-kadang pelik juga tengok watak anak dengan ibu hampir sebaya.

"Memang betul pun, artis veteran ramai lagi. Janganlah ambil yang muda-muda untuk jadi tua, tak sesuailah.

"Setuju, bagilah peluang artis veteran mengisi watak ketua keluarga atau masyarakat tanpa ada solekan pada yg muda," kata beberapa netizen.

Hans Isaac

Artikel Berkaitan

Artikel Lain