Hans Isaac enggan berlakon, terbit filem demi elak konflik kepentingan

HANS Isaac serius untuk memperjuangkan nasib golongan artis veteran. Foto SHAARI CHE MAT

PENGERUSI Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang baharu, Datuk Hans Isaac enggan menerima sebarang tawaran lakonan atau terlibat dalam penerbitan filem dan drama bagi tempoh dua tahun.

Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac, 48, berkata perkara itu dibuat bagi mengelakkan wujudnya konflik kepentingan setelah diberi tanggungjawab memimpin badan itu.

“Sepanjang tempoh dua tahun ni saya tidak akan menerima sebarang tawaran berlakon atau terlibat dalam mana-mana produksi filem dan drama.

ARTIKEL BERKAITAN: Hans Isaac sah Pengerusi Finas, mahu fokus kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni

ARTIKEL BERKAITAN: “Mesej itu sepatutnya antara saya dan Fazura” - Hans Isaac sedia minta maaf kalau betul-betul salah

“Tak adil jika saya berlakon dalam pada masa yang sama saya bertugas sebagai Pengerusi Finas. Sekarang ni juga saya tidak ada kepentingan dengan mana-mana pihak.

“Sebenarnya saya hanya mahu tempoh setahun sahaja untuk pegang jawatan ni tapi menteri yang minta untuk dua tahun. Jadi, sepanjang tempoh itu saya mahu bersih dari sebarang aktiviti seni,” katanya kepada mStar Online.

Hans  Isaac (kanan) bersama CEO Finas, Ahmad Idham.

Hans ditemui ketika melakukan kunjungan rasmi ke pejabat Finas, Hulu Kelang, Kuala Lumpur pada Khamis.

Turut hadir ialah Ketua Pengawai Ekskutif Finas, Ahmad Idham dan Presiden Persatuan Filem Malaysia (PFM), Datuk Norman Abdul Halim.

Pelantikan Hans bagi menggantikan pemangku jawatan itu yang sebelum ini disandang oleh Samsuni Mohd Nor dan berkuatkuasa bermula 8 April lalu.

Dalam pada itu, pelakon filem Cuci ini memberitahu beliau mengambil masa empat bulan sebelum menerima pelantikan itu kerana memikirkan banyak perkara yang ingin dilakukan dalam kehidupan peribadinya.

Namun demi memperjuangkan kebajikan rakan industri dan mahu membantu artis senior hidup yang melarat, beliau menerima pelantikan tersebut.

“Dalam hidup saya, banyak perkara yang nak dilakukan. Ada juga beberapa sasaran penting dalam hidup saya sebagai individu... tapi saya ke tepikan semua tu.

“Namun apabila memikirkan nasib lebih 20,000 penggiat seni dan artis veteran membuatkan saya terima pelantikan ini demi mahu memperjuangkan kebajikan mereka,” ujarnya.

Mengenai 15 Manifesto yang direncanakan, Hans bagaimanapun memberitahu hal tersebut masih belum boleh didedahkan namun akan diumumkan tidak lama lagi.

Hans Isaac, Finas

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain