suria

Mengapa pelakon ‘Nur 2’ ragu-ragu? Azhan Rani paling lantang bersuara

Azhan dedah dia pada mulanya menentang idea penghasilan Nur 2

PELAKON Azhan Rani berkata dia menjadi antara pelakon yang membantah penghasilan sekuel Nur yang menjadi fenomena hingga diiktiraf menerusi beberapa anugerah.

Menurut Azhan, 43, wujud keraguan yang tinggi mengenai sambutan penonton terhadap Nur 2 lebih-lebih lagi apabila jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan jauh berbeza berbanding edisi sebelumnya.

"Daripada awal lagi kami (para pelakon) sudah berbincang tentang impak drama ini. Malah saya merupakan antara yang paling lantang menyatakan keraguan apabila wujud perancangan untuk Nur 2.

ARTIKEL BERKAITAN: Azhan Rani tak peduli jumlah penonton yang penting penunggang agama sedar!

ARTIKEL BERKAITAN: Nur 2 tak sensitif, Raja Atiq mohon maaf silap baca ayat Al-Quran


Barisan pelakon Nur 2

"Bagi saya tidak perlu ada Nur 2 kerana mahu keistimewaan drama yang sarat dengan mesej ini berkekalan dalam Nur yang pertama. Tetapi apabila memikirkan permintaan tinggi dan penghargaan peminat, maka terhasillah Nur 2.

"Namun saya sangat berharap agar tiada pula Nur 3 selepas ini. Biarlah ia tinggal sebagai kenangan manis yang boleh dikenang sampai bila-bila, izinkan kami keluar daripada 'kepompong Nur' ini," kata Azhan kepada mStar Online.


Azhan Rani bersama pengarah serta penulis skrip Nur 2, shahrulezad mohameddin

Selain itu jelas Azhan, seluruh tenaga produksi drama tersebut turut merasai tekanan jika Nur 2 dibandingkan dengan kehebatan Nur yang sudah terbukti kehebatannya apabila berjaya meraih lebih 11 juta tontonan semasa ditayangkan.

"Drama Nur 2 berjaya dihasilkan apabila pengarahnya iaitu Shahrulezad Mohameddin meyakinkan kami wujudnya alasan yang kukuh untuk meneruskan sekuel iaitu bonding antara kru dan pelakon malah untuk mengubat rasa rindu penonton.

Salah satu babak dalam Nur 2

"Sejujurnya ketakutan utama kami ialah jika wujud perbandingan dengan Nur yang pertama. Namun pengarah berjaya menyuntik semangat positif dengan menyatakan Nur 2 dihasilkan bukanlah untuk sebarang perbandingan dan jauh sekali untuk memenangi sebarang anugerah," katanya.

Selain Azhan Rani, Nur 2 turut dibintangi Syafiq Kyle, Amyra Rosli, Noorkhiriah dan ramai lagi.

Nur 2 sudah mula ditayangkan menerusi slot Samarinda TV3 setiap Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam.

Azhan Rani, Nur, Nur 2

Artikel Lain